KELOMPANGAN DAN MASALAH DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Posted by Institut Pemikiran dan Pendidikan Islam Nasional (IPPIN)

Sejauh manakah falsafah pendidikan mencapai matlamatnya? Satu sorotan terhadap pelaksanaan dan kesan sistem pendidikan negara dalam membina jati diri ummah hari ini.

Pendidikan menjadi suatu aspek penting yang perlu diutamakan dalam pembinaan sebuah negara dan bangsa. Di dalam sejarah negara sendiri aspek pendidikan berkembang sejajar dengan arus peredaran dan zaman. Pada awalnya kebanyakan sistem pendidiksn banyak dipelopori oleh golongan yang berautoriti dalam bidang agama Islam ataupun Kristian. Arus pendidikan di Malaysia yang mulanya bermula dari cara tradisional seperti sistem pondok berkembang kepada sistem yang lebih tersusun. Setelah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957, pelbagai perubahan telah dibuat bagi memastikan semua rakyat mendapat pendidikan yang sempurna. Namun begitu, sejak kebelakangan ini isu pendidikan hangat diperkatakan setelah rakyat dan pemimpin masyarakat terutamanya pejuang bangsa melihat sistem pendidikan kendalian kerajaan semakin huru-hara.

Tidak dinafikan sistem yang sedia ada telah banyak melahirkan golongan yang berintelektual, tetapi mutakhir ini akibat campur tangan politik dan ‘orang berkepentingan’ dalam sistem dan dasar pendidikan negara, kelesuan terserlah malah satu persatu kelemahan pentadbiran Kementerian Pelajaran diperlihatkan dengan isu-isu yang timbul. Hakikat ini diperakui kebanyakan ahli Parlimen tidak kira pembangkang mahupun daripada BN yang berbahas mengenai Kementerian Pelajaran hari ini di Dewan Rakyat.


Keciciran Membimbangkan Dan Kelesuan Dalam Pendidikan Negara

Isu keciciran dan kelesuan dalam pendidikan negara bukanlah suatu isu yang asing sejak dari dahulu sampai sekarang. Di dalam persidangan anggota parlimen di Dewan Rakyat pada bulan November tahun 2006, ahli parlimen Tebrau(BN) iaitu Teng Boon Soon mendedahkan bahawa kadar keciciran pelajar dari setahun ke setahun kini meningkat kepada 37%dan kini berada pada situasi amat membimbangkan. Menurut Teng, ramai di kalangan pelajar yang tidak dapat menyempurnakan pelajaran mereka hingga kepada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya mampu pada tahap Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).Beliau berkata, pada tahun 2006 terdapat 120,000 murid yang tidak dapat menguasai kemahiran 3M dan malah ia menyumbang kepada keciciran yang amat serius. Tahap keciciran pelajar sebanyak 37% ini amatlah membimbangkan dan nilainya yang dilihat semakin meningkat saban tahun dijangka akan memberi kesan yang besar kepada soal masa depan pendidikan negara. Baru-baru ini juga ada dipaparkan di dalam sebuah akbar mingguan perdana pada Februari 2009 juga mendedahkan bahawa hampir 300000 pelajar akan menghadapi risiko keciciran sekiranya pelaksanaan PPSMI tetap diteruskan oleh pihak kerajaan.

Selain itu, sistem pendidikan di negara hari ini sebenarnya terlalu mementingkan aspek peperiksaan dan belajar secara menghafal dengan mengabaikan pemikiran kreatif di samping mengenepikan aspek kebudayaan telah mengakibatkan masalah kelesuan yang teruk dalam sistem pendidikan negara. Pelajar dimomokkan dengan igauan kecemerlangan dalam peperiksaan tanpa menghiraukan dan menggunakan sepenuhnya potensi sebenar yang ada pada diri seseorang pelajar. Hal ini berbeza sekali dengan kaedah pendidikan di luar negara terutama di negara maju yang sangat menekankan kepada pembudayaan aplikasi seharian dan penonjolan terhadap potensi diri terhadap sesuatu bidang. Malah, hal ini bukan sahaja dilaksanakan oleh pihak kerajaan, bahkan syarikat-syarikat mega dan besar banyak menyokong hasrat kerajaan ini dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti bagi menjana idea kretiviti pelajar. Sesetengahnya membantu dengan memberi tajaan dalam aktiviti penyelidikan bagi meningkatkan lagi produktiviti dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Selain itu, penekanan kepada aspek peperiksaan juga telah menyebabkan ramai golongan pendidik mahupun rakyat lebih menumpukan kepada golongan pelajar cemerlang dan cerdik sahaja dengan sedikit sahaja perhatian ditumpukan kepada golongan pelajar yang lemah. Hari ini, kebanyakan institusi pendidikan lebih mengejar kepada status kecermelangan dan masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi sekolah terbaik dengan menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran. Guru-guru cemerlang banyak ditempatkan di sekolah elit dan terbaik contohnya di sekolah berasrama penuh dan sekolah di kawasan bandar sahaja. Manakala di sekolah-sekolah yang mungkin lebih rendah tarafnya dan jauh di pendalaman di mana keputusan peperiksaannya agak rendah dan para pelajarnya banyak terdiri dari pelajar yang lemah dibiarkan tanpa diberi penekanan dan bantuan yang sewajarnya. Sistem pendidikan yang ‘rigid’ ini serta sikap tidak prihatin pihak berwajib pada masalah ini telah menampakkan ketidakadilan dalam sistem pendidikan negara. Hasilnya, pelajar yang lemah mulai hilang minat untuk belajar sehingga membawa kepada keciciran dalam pelajaran.


Hilangnya nilai mentarbiah dalam pembelajaran

Pendidikan dan pembelajaran merupakan aspek terpenting dalam pembinaan modal insan yang berkualiti. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, susutnya nilai moral dan akhlak yang melanda golongan muda-mudi hari memungkinkan persoalan sejauh manakah aspek pendidikan atau tarbiyah ditekankan dalam pembelajaran hari ini. Tidak dinafikan pihak kementerian dan berwajib telah merangka pelbagai sukatan dan pendekatan yang terbaik dalam menjana pendidikan negara terutamanya dalam soal pembentukan nilai dan jati diri seorang pelajar. Namun begitu adakah pendekatan yang diamalkan oleh guru-guru dan pensyarah benar-benar diamalkan sebagaimana yang telah dirancang.

Sebagaimana yang dimaklumi di dalam konteks pendidikan, persoalan pembentukan moral dan akhlak sebenarnya lebih rumit dari yang sangkakan. Pendidikan memerlukan tarbiyyah atas asas-asas pemikiran yang benar. Ia bergantung kepada sukatan pelajaran yang rasmi dan tidak rasmi. Ia memerlukan prasarana, lingkungan budaya, politik dan ekonomi yang kondusif. Lebih jauh dari itu, usaha mendidik manusia memerlukan tarbiyah dan bimbingan dari ALlah. Manusia tidak dapat bebas dari masyi’atullah yang mengimbau dan menguasai alam ini dengan segala Qudratnya yang tidak terbatas. Allah berfirman :

Maksudnya:

23. dan janganlah Engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa Aku akan lakukan Yang demikian itu, kemudian nanti".

24. melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika Engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk Yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".

Menghayati atau mengamalkan saranan pendidikan Islam memanglah suatu yang mencabar. Ini kerana ruang lingkup ajaran Islam itu begitu luas dan berkaitan antara satu sama lain. Urusan pendidikan Islam wujud dalam tiap aspek kehidupan iaitu bermula dari dalam rumah ke dalam masyarakat, negara, ekonomi, politik, budaya dan lain-lain. Keseluruhannya membawa kesan atau semangat yang bersifat pendidikan.

Jadi untuk melaksanakan atau menghayati pendidikan Islam memerlukan kita menghayati Islam itu secara komprehensif. Setiap sendi dan sektor masyarakat harus mengamalkan ajaran dan semangat Islam dan setiap pemimpin dan institusi mesti menyalurkan nilai-nilai ajarannnya. (Hj. Abd. Ghani Shamsuddin, 9 Disember 1991) Malah, media massa juga turut berperanan dalam membantu para pendidik dalam menerapkan nilai-nilai yang mungkin tidak didapati melalui pendidikan formal di institusi pendidikan

Persoalan inilah yang menjadi kebimbangan apabila melihat situasi masyarakat pada hari ini. Walaupun terdapat kajian terhadap keberkesanan proses pendidikan dalam pembelajaran hari ini, namun begitu ianya terhad kepada kepada sesetengah golongan sahaja. Sepatutnya, di dalam usia kemerdekaan negara yang sudah melebihi usia 50 tahun sudah sepatutnya pihak kementerian terutamanya membuat kajian menyeluruh bagi memastikan kesan pembelajaran yang didapati golongan pelajar adalah di peringkat terbaik dan bukannya terhad kepada sesetengah golongan sahaja.


Ke mana arah tuju pelajar aliran agama?

Tidak dinafikan pencapaian akademik pelajar aliran agama adalah sungguh memberangsangkan sejak akhir-akhir ini. Disamping itu juga, keperibadian akhlak pelajar aliran agama juga adalah baik. (Berita Harian, Mac 1997). Namun begitu, tahun 2020 mengundang pembangunan negara Malaysia berasaskan teknologi mengikut acuan budaya tersendiri. Ianya juga menuntut kepada pengislaman ilmu dalam mata pelajaran bukan agama. Adakah negara kita sudah bersedia dengan generasi yang menguasai kedua-dua bidang ini. Ianya penting dalam memberikan tasawur yang betul untuk menghasilkan golongan profesional Islam seperti jurutera, akauntan dan doktor mengikut acuan Islam.

Rang Undang-Undang 1995 membincangkan isu pendidikan Islam yang mana ianya akan diperluaskan disemua kategori sekolah termasuk sekolah swasta. Jika sebelum ini, ianya hanya diwajibkan disekolah kerajaan dan bantuan kerajaan apabila terdapat 15 atau lebih pelajar Islam. Subseksyen 18(2) pula menjadikan Pendidikan Islam sebagai matapelajaran teras. Resolusi Seminar Pendidikan Islam Kebangsaan 1995 telah dibuat berhubung dengan penyusunan semula kurikulum, pendidikan guru dan strategi pengajaran akan dilaksanakan untuk memberi pendekatan baru terhadap pendidikan Islam (Rang Undang-Undang Pendidikan, 1995)

Banyak perubahan yang perlu dilakukan dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita untuk melahirkan lebih ramai lagi teknokrat Islam. Malaysia, yang bercita-cita untuk menjadi pusat ilmu serantau seharusnya melakukan reformasi dalam pendidikan Islam. Di dalam Seminar Kebangsaan Kurikulum Pendidikan Islam satu resolusi telah diambil iaitu:

"Berdasarkan kehendak masa kini, Kurikulum Pendidikan Islam yang sedia ada sudah lengkap dan mampu menanggani masalah masyarakat kini, jika semua kehendak dan ketetapan dipatuhi, terutama aspek perkaedahan, kesepaduan dan penilaian"

(Utusan Malaysia 27 Jun 1997)

Jika diamati resolusi tersebut, kurikulum sains dalam pendidikan Islam tidak menjadi isu yang diambilkira dalam resolusi tersebut memandangkan ianya sudah lengkap.

Sistem Pendidikan di negara Islam hari ini sebenarnya menggunakan andaian asas dari sistem pendidikan barat. Ini dapat dilihat melalui pembahagian antara dua bahagian penting iaitu ‘kehidupan’ dan ‘keagamaan’. Ini tidak diterima oleh Islam dengan membahagikan agama dengan sains dan teknologi. (Ziauddin Sardar, 1981). Sememangnya Islam tidak pernah menafikan pembangunan sains dan teknologi asalkan pembangunan itu bertempat dan membawa manafaat (Dr. Hakimi Ibrahim, 10 Julai 1998). Oleh itu, kesedaran sains di peringkat sekolah rendah dengan penggunaan sistem pendidikan adalah mesti dijalankan dengan lebih sistematik dan terperinci supaya kesan yang didapati berpanjangan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.


Pendidikan dijadikan bahan perniagaan

Pendidikan dan pembelajaran merupakan keperluan dan isu yang sentiasa berkembang mengikut perubahan dan kehendak zaman. Hal ini malangnya telah menyebabkan ia telah dieksploitasi bagi tujuan keuntungan sesetengah pihak sahaja. Dalam isu kemasukan pelajar Timur Tengah ke IPT-IPT di Malaysia berikutan kesan dari peristiwa 11 September 2001 kerajaan tidak mengadakan sistem saringan yang ketat bagi memastikan mereka yang layak memasuki IPT di Malaysia sebaliknya mereka hanya memikirkan poket 'pihak tertentu' untuk mendapatkan keuntungan

Sedangkan dalam masa yang sama kerajaan telah meminggirkan pelajar bumiputera yang mempunyai advanced diploma atau diploma lanjutan, mereka menghadapi masalah, katanya tegas. Selain itu, dalam isu sekolah kluster pula dikatakan mirip kepada pentadbiran sekolah swasta yang akhirnya mementingkan soal keuntungan semata-mata sebaliknya mengenepikan kualiti pendidikan itu sendiri.(Harakah, 29 Mac 2007)

Hal ini juga menimbulkan kebimbangan rakyat yang melihat bahawa cadangan tersebut akan mewujudkan kasta-kasta (pemeringkatan yang mewujudkan jurang antara yang miskin dan kaya) dalam sistem pendidikan Negara.

Selain itu, tidak terkecuali bagi isu para ibu bapa pelajar sekolah yang dihantui dengan bebanan yuran sekolah yang terkadang tidak munasabah dengan keperluan pelajar. Contohnya, pada pembentangan Budget Kewangan pada tahun 2008 yang lalu, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi telah mengumumkan penghapusan yuran Sekolah mulai tahun 2008.

Namun, pada 1 Januari 2008 ibu bapa diseluruh negara digemparkan dengan caj Yuran Tambahan yang mencecah hingga RM 500. Antara perkara yang dimasukkan dalam senarai yuran ini adalah Yuran Tandas, Yuran Tuala Wanita (untuk pelajar perempuan), Yuran pelbagai dan banyak lagi. Yuran PIBG pula dikenakan sebanyak dua kali, iaitu melalui akaun pelajar dan satu lagi melalui akaun ibubapa. Ketika rakyat sedang marah dengan penipuan ini, guru-guru hanya mampu menjelaskan bahawa Yuran Sekolah yang dihapuskan hanyalah yuran asas sahaja dan ianya bernilai RM 4.50 sahaja. Ditambah pula dengan masalah kemudahan dan kualiti pembelajaran yang terus tidak seperti diharapkan membuatkan para penjaga tertanya-tanya kemanakah sebenarnya menghilang wang yang dibayar kepada pihak sekolah.

Walhal, hal ini seperti ini tidak akan berlaku seandainya pihak-pihak yang bertanggungjawab tidak menjadikan ia sebagai sumber untuk menjana keuntungan. Ditambah pula masalah social yang mula menular menyebabkan ibu bapa mula beralih arah dengan mencari alternatif yang lebih baik dalam soal pendidikan anak-anak mereka.

Menghadapi era baru memungkinkan seribu cabaran dalam mendidik anak bangsa. Pelbagai isu yang melanda dunia pendidikan khususnya telah membuka mata pelbagai pihak untuk sama-sama bermuhasabah dan menilai kembali peranan pendidikan dalam membina generasi yang intelek, bermoral dan berwawasan. Masih belum terlambat untuk mana-mana pihak berwajib mengambil pendekatan dan perubahan yang lebih baik. Oleh itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan bermula dari peringkat bawah sehingga ke peringkat yang lebih tertinggi. Semoga pendidikan Negara akan mampu memacu perubahan yang lebih drastik ke arah mencapai wawasan dan harapan ummah.


Rujukan

  1. Kertas kerja kajian sistem pendidikan kebangsaan (MTT2353)
  2. Ziauddin Sardar. (1981). Sains, Teknologi Dan Pembangunan Di Dunia Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
  3. Harakah, 29 Mac 2007
  4. Datuk Dr. Syed Othman Alhabshi, Kertas Kerja Kongres Pendidikan Melayu di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada 1 – 2 September 2001: Dasar Dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan

Disediakan oleh

GAMIS DQ

3 Komentar

  1. Anonymous Said,

    assalamualaikum, sekalung tahniah diucapakan kepada srikandi azeadora dq yang dapat mengeluarkan buah fikiran yang diterjemahkan melalui blog yang dalam masa yang sama memberikan pendedahan kepada para jundullah,mujahid dan mujahidah untuk menanamkan rasa sensetiviti yang lebih tinggi terhadap masalah negara..TAKBIR.TERUSKAN PERJUANGAN DI MEDAN YANG PENUH MEHNAH INI DUHAI UKHTI

    Ditulis oleh

     
  2. salam

    Tahniah atas artikel ini...

    Teruskan menghantar sebarang artikel

    moga-moga kita semua akan peka dengan isu semasa

    InsyaAllah

    Ditulis oleh

     
  3. afrirazi Said,

    Sebagai ibu bapa saya merasa pelik kenapa pelajar di Malaysia tidak mampu menguasai penulisan dan percakapan dalam Bahasa Inggeris dengan baik walaupun telah mempelajarinya hampir 11 tahun di sekolah rendah dan menengah. Sedangkan bila hantar ke pusat bahasa seperti Erican dan Smart Reader, pelajar mampu menguasai dalam masa yang singkat. Dimanakah salahnya sistem pendidikan Bahasa Inggeris kita di sekolah menengah dan rendah.

    Ditulis oleh

     

Post a Comment


Pengenalan

Adalah satu usaha GAMIS dalam menjadikan Pendidikan Islam diangkat sebagai peneraju utama untuk menjayakan matlamat sistem pendidikan negara iaitu ke arah pembentukan masyarakat baik dari aspek keintelektualan, moral, fizikal dan lain-lain oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Objektif IPPIN

1) Menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dalam negara. Tujuan untuk menilai pendidikan Islam dalam negara adalah untuk menjadikan pendidikan Islam sebagai tunjang pendidikan. Selain itu, pendidikan Islam juga sudah lama tidak disemak semula melainkan hanya menjalankan wacana tahunan sahaja.

2) Membetulkan pandang alam (world-view) mengenai pendidikan Islam yang sebenar.

3) Membentuk satu resolusi bertindak ke arah pentajdidan sistem pendidikan Islam di negara.

Organisasi Ippin

AHLI MAJLIS TERTINGGI

PENGERUSI :
-Muhammad Naqiuddin bin Mohd Said

TIMB. PENGERUSI :
-Shahrizul Ayuni bt. Zulkiply

SETIAUSAHA :
-Wan Nur Shuhada bt. Wan Hasan

TIMB. SETIAUSAHA :
-Masyitoh bt. Yaacob

BENDAHARI :
-Najlaa Shazana bt. Mohamad

TIMB. BENDAHARI :
-Muhammad bin Ab. Razak


BIRO BERTINDAK

BIRO R&D (KAJIAN)
-Ahmad Saifuddin bin Amran
-Syuja’ati Ilmi

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN
-Mohd Yusof Hadhari b. Saidon
-Nurhaslin bt. Zaharudin

BIRO PERHUBUNGAN DAN KORPORAT
-Mohammad Za’im Mustapha

BIRO LATIHAN DAN PROGRAM
-Marwan Bukhari
-Nurul Hayati bt. Abd Latif

BIRO ANTARABANGSA
-Abd Rauf Baharuddin
-Nur Suhaila bt. Zulkifli

ShoutMix chat widget