Kongres Bertindak Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara

Posted by Institut Pemikiran dan Pendidikan Islam Nasional (IPPIN)


Dewasa ini kita melihat penghakisan sahsiah masyarakat terutamanya di kalangan remaja yang kian meruncing dan menjadi masalah utama kepada negara. Ini dibuktikan dengan kejadian gejala sosial dan jenayah yang dilaporkan saban hari dan kerap menghiasi dada akhbar-akhbar tempatan sebagai tajuk utama. Persoalannya di sini adakah jenayah yang dilakukan ditafsirkan atas niat seseorang yang selalu memberontak untuk mengikut naluri tersendiri yang ingin bebas melakukan apa saja tanpa mengira kesan dan batasan perlakuan yang telah termaktub. Pada hakikatnya seseorang mampu melakukan apa saja yang diingini namun apabila agama dan akal dijadikan sandaran, hidup akan mengikut peraturan dan bertindak waras agar perlakuan diterjemahkan hanya untuk kebaikan diri dan sejagat.

Kita dapat melihat bagaimana berjayanya bangsa dan tamadun terdahulu terutamanya pada zaman Rasulullah dan sahabat kerana penekanan sahsiah dan peribadi yang tinggi dalam apa jua aspek samada pendidikan, perniagaan dan sebagainya. Ini kerana generasi terdahulu ini menjadikan agama sebagai pelajaran dan pengalaman hidup dalam segala tindak-tanduk mereka. Pendidikan agama pada zaman tersebut menjadi keutamaan berbanding ilmu lain. Pada hakikatnya ilmu lain seperti sains, sastera dan sebagainya bukanlah dinafikan haknya untuk mendapat tempat di minda dan hati setiap masyarakat pada ketika itu tetapi pendidikan agama dijadikan ilmu keutamaan sebagai pendinding kepada ilmu lain yang dituntut supaya ilmu tersebut diterjemahkan dalam kehidupan harian pada batas garisan yang telah ditetapkan agama.

Kita juga melihat walaupun bangsa terdahulu menjadikan agama sebagai ilmu keutamaan namun mereka mampu membuktikan mereka juga bangsa yang maju dan hebat dalam segala ilmu yang wujud di dunia ini. Teknologi dan keselesaan hidup pada hari ini juga tidak akan dikecapi jika bukan hasil kajian dan sumbangan bangsa terdahulu dalam pelbagai cabang ilmu. Mereka juga mampu mengetengahkan teori-teori dan alatan-alatan canggih yang kebanyakannya pada hari ini adalah adaptasi kepada teknologi bangsa terdahulu.

Namun kita melihat senario pada hari ini mencerminkan perkara sebaliknya. Apa yang berlaku adalah ilmu selain agama menjadi ilmu keutamaan dan dijunjung tinggi sehingga ilmu agama hanya dijadikan subjek sampingan sahaja. Penilaian masyarakat telah berubah kepada individu yang mahir dalam ilmu selain agama adalah individu yang cemerlang dan tinggi sahsiahnya. Ilmu-ilmu selain agama menjadi rebutan dan kepentingan kepada kebanyakan masyarakat hari ini kerana merasakan bahang keperluan dalam melengkapi dan meneruskan kehidupan pada masa kini. Masyarakat berpendapat untuk mempunyai kehidupan yang selesa dan menjadi barisan kelas atasan yang dipandang tinggi, seseorang itu perlulah menguasai ilmu-ilmu utama ini yang mendapat tempat baik dalam pelbagai aspek. Namun amat tertipulah masyarakat dengan sangkaan mereka yang disangkal oleh pelbagai masalah berkaitan sahsiah yang timbul samada gejala sosial, jenayah dan sebagainya.

Apabila terjadinya jenayah yang berlawanan dengan etika kemanusian maka masyarakat acap kali menuding kepada individu terbabit yang dianggap jahat sejak azali. Pada dasarnya, perkara pokok yang perlu dilihat adalah sistem pendidikan yang diberikan kepada individu ini. Ini kerana setiap bayi itu lahir bersih dari dosa dan meningkat dewasa dengan pendidikan yang diberikan padanya untuk membentukan sahsiah peribadi yang mulia. Jika pendidikan itu menekan aspek agama dan sahsiah maka seharusnya individu itu dapat menilai dengan lebih sempurna antara baik buruk sesuatu perkara.

Malaysia juga tidak lari dari senario yang dibincangkan di atas malah kian tersasar dari maksud sebenar tujuan pendidikan kepada masyarakat. Malaysia kini menjadi negara sebutan lantaran daripada kemajuan yang dikecapi saban hari namun apabila sahsiah dan etika masyarakat dihalusi, respondan dan kritikan pedas masih kedengaran. Ini adalah sebenarnya kesan daripada sistem pendidikan yang terlalu menekankan ilmu selain agama. Sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah sehinggalah menara gading masih tidak mampu melahirkan generasi yang mempunyai sahsiah dan peribadi mulia. Pendidikan agama yang diberikan ternyata tidak dapat membendung gejala sosial dan jenayah yang dilakukan masyarakat.

Pelbagai kes jenayah dilaporkan setiap hari melibatkan remaja sekolah dan universiti yang dilihat kian membimbangkan dan dikuatiri menjadi satu penyakit berbahaya yang tiada ubatnya. Namun masalah ini berlalu begitu sahaja tanpa ada satu kata putus muktamad sebagai penyelesaian kepada permasalahan ini. Kita tidak mahu melahirkan bangsa yang mahir dalam sains dan teknologi tetapi pada masa sama adalah penjenayah yang menjadi ancaman kepada masyarakat.

Dalam aspek lain, kita melihat sistem pendidikan sedia ada telah membelakangkan perkara pertama rukun negara iaitu kepercayaan kepada tuhan. Pentafsiran masyarakat terhadap kepercayaan kepada tuhan pada masa kini hanyalah pada teori dan kalam tanpa pembuktian tingkah laku. Malahan tingkah laku yang diterjemahkan adalah berlawanan sama sekali dengan perkara pertama rukun negara ini. Maka secara jelasnya kita telah bertindak sebaliknya dengan apa yang termaktub dalam perkara pertama rukun negara semata-mata mengejar kepentingan keduniaan yang tiada penghujungnya.

Atas dasar rasa tanggungjawab dan kesedaran yang timbul, GAMIS mula mengorak langkah dengan menganjurkan kongres bertindak rejuvenasi sistem pendidikan islam negara sebagai pencetus kepada usaha dalam melakukan perubahan terhadap sistem pendidikan negara Malaysia. Walaupun GAMIS bukanlah menteri atau jawatankuasa yang bertanggungjawab dalam mencaturkan sistem pendidikan negara kita namun usaha ini diharapkan dapat menyedarkan pihak pemerintah terutamanya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dan seterusnya memulakan usaha dalam menyemak dan merombak kembali sistem pendidikan sedia ada.

Visi dan misi kongres pendidikan ini bertujuan mengangkat martabat dan kegemilangan pendidikan Islam sebagai pencorak utama dalam pembentukan masyarakat yang mempunyai sahsiah dan peribadi mulia, berintelektual dan berdaya saing. Ini adalah proses penjenamaan semula sistem pendidikan negara ke arah melahirkan masyarakat dan tamadun yang berasaskan kepada agama. Pendidikan Islam umpama air dan makanan yang penting untuk meneruskan kehidupan. Maka jika pendidikan Islam ditinggalkan dan diabaikan, masyarakat itu akan mati pada kewarasan perlakuannya. Oleh yang demikian, diharapkan kita sedar akan kepentingan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara sekaligus memperjuangkan dan berusaha mengekalkan pendidikan Islam sebagai satu ilmu utama dan kemestian dalam pendidikan negara demi kebaikan bangsa dan generasi kini dan akan datang. Semoga Allah membantu kita dalam menjayakan usaha kecil ini dan ikhlaskan niat kita dalam perjuangan ini.

Wallahu'alam.

0 Komentar

Post a Comment


Pengenalan

Adalah satu usaha GAMIS dalam menjadikan Pendidikan Islam diangkat sebagai peneraju utama untuk menjayakan matlamat sistem pendidikan negara iaitu ke arah pembentukan masyarakat baik dari aspek keintelektualan, moral, fizikal dan lain-lain oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Objektif IPPIN

1) Menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dalam negara. Tujuan untuk menilai pendidikan Islam dalam negara adalah untuk menjadikan pendidikan Islam sebagai tunjang pendidikan. Selain itu, pendidikan Islam juga sudah lama tidak disemak semula melainkan hanya menjalankan wacana tahunan sahaja.

2) Membetulkan pandang alam (world-view) mengenai pendidikan Islam yang sebenar.

3) Membentuk satu resolusi bertindak ke arah pentajdidan sistem pendidikan Islam di negara.

Organisasi Ippin

AHLI MAJLIS TERTINGGI

PENGERUSI :
-Muhammad Naqiuddin bin Mohd Said

TIMB. PENGERUSI :
-Shahrizul Ayuni bt. Zulkiply

SETIAUSAHA :
-Wan Nur Shuhada bt. Wan Hasan

TIMB. SETIAUSAHA :
-Masyitoh bt. Yaacob

BENDAHARI :
-Najlaa Shazana bt. Mohamad

TIMB. BENDAHARI :
-Muhammad bin Ab. Razak


BIRO BERTINDAK

BIRO R&D (KAJIAN)
-Ahmad Saifuddin bin Amran
-Syuja’ati Ilmi

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN
-Mohd Yusof Hadhari b. Saidon
-Nurhaslin bt. Zaharudin

BIRO PERHUBUNGAN DAN KORPORAT
-Mohammad Za’im Mustapha

BIRO LATIHAN DAN PROGRAM
-Marwan Bukhari
-Nurul Hayati bt. Abd Latif

BIRO ANTARABANGSA
-Abd Rauf Baharuddin
-Nur Suhaila bt. Zulkifli

ShoutMix chat widget