
Institusi Pondok Selepas Merdeka
Sistem pengajian pondok telah menuju zaman kegemilangannya pada abad ke-20M. Keadaan ini berlaku kerana para ulama terdahulu yang berjaya melahirkan anak murid berkebolehan dan berjaya menanam semangat mencintai agama di kalangan masyarakat.[...]
“Pendidikan percuma perlu diberikan kepada rakyat bermula daripada tadika sehinggalah kepada pengajian tinggi” katanya ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.[...]
Kementerian Pelajaran berpendapat subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral tidak perlu dijadikan mata pelajaran teras dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi meningkatkan sahsiah dan jati diri murid.[...]
Kerajaan sedang bercadang untuk memansuhkan UPSR dan PMR kerana sistem pendidikan kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata. Ini menyebabkan tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya.[...]
Selamat Berjaya Adik-Adik PMR
Kepada adik-adik kita yang sedang menduduki peperiksaan PMR bermula hari ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.Kembalilah kepada sistem Pendidikan Islam
Institusi Pondok Selepas Merdeka
IPPIN bersetuju UPSR dan PMR dimansuhkan.
Polis Terlampau
Pendidikan seks atau Pendidikan Islam
Konsep Pendidikan di dalam Islam
How to teach children?!

"Children might fail to follow our word but they will never fail to follow our action. If you want to be listen first. If you want to be respected, respect first. Teach your children with actions and if you want to deliver a message, be the message!"
Adopted from book of saifulislam.com; Rindu Bau Pohon Tin
KELESUAN PENDIDIKAN TERHADAP ANAK-ANAK
Akhir-akhir ini dunia pendidikan seakan-akan menangis melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan aktivit-aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik.
Ada bilik darjah yang dibakar, ada murid yang ingin membakar rumah gurunya, ada pula pelajar yang terbabit dengan jenayah. Gejala apakah ini?
Dahulu, dalam sejarah Melayu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya dan juga guru yang sepatutnya dihormati kini menjadi mangsa kenakalan para pelajar.
Daripada hati kecil kita mungkin terdetik persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan para pelajar kita pada hari ini?
Lalau siapakah pula yang boleh dipertanggungjawabkan atas ketempangan masalah sosial yang melanda generasi muda kita? Adakah ibu bapa, guru atau peajar itu sendiri? Yang menghairankan, masalah sosial ini amat ketara melibatkan pelajar yang berasal dari kaum Melayu. Di manakah puncanya?
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, elok kita cuba merenung dan mendalami bagaimana sistem pendidikan anak-anak menurut kaca mata Islam. Ini merangkumi fasa-fasa tertentu mengikut peningkatan usia seseorang manusia itu.
Sebelum kelahiran:
Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya bersabda,maksudnya: “Didiklah anak 100 tahun sebelum dilahirkan.” Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah yang dalam sebab ungkapan ‘seratus tahun sebelum lahir’ ini bermakna jauh sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini.
Apa maknanya? Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat dan perilaku anak-anak yang akan lahir. Ertinya ,perbuatan dan sikap orang tua sedikit sebanyak mempengaruhi perkembangan fizikal dan mental bayi yang akan lahir.
Di antara pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w diatas sebenarnya memiliki kesesuaian dan sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak ‘seratus tahun sebelum lahir’ dalam hadis Rasul adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.
Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam satu syair: “ Kaifama takun yakun abna’aka ” yang bermakna bagaimana kamu hari ini,begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan.
Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.
Setelah kelahiran:
Rasulullah s.a.w membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan,iaitu:
Pertama: umur 1-7 tahun.Pada masa ini,Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak terbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.
Kedua: umur 7 – 14 tahun. Pada masa ini Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat.
Bahkan apabila umurnya sudah sepuluh tahun,seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat. Berdasarkan kajian pakar-pakar jiwa anak, sememangnyalah pada umur 7-14 tahun ini masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak.
Pada saat ini pula seorang ayah akan menjadikan anak itu seorang muslim atau yahudi, nasrani dan Majusi seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah adan ibulah yang akan mencorakkannya.
Ketiga: umur 14-21 tahun, pada masa ini orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada yang rasioanal. Orang tua sudah semestinya mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga sudah mesti mengambil berat hal-hal dalam keluarga.
Keempat: umur lebih 21 tahun. Pada masa ini , orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita sebagai muslim,kadang-kadang pendidikan yang diajar oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan,bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali. Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sehingga umur 14 tahun dan baru mula mengajar dan menyuruhnya solat pada tahun 15 tahun sehingga mereka bukan sahaja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat,maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Padahal hakikat solat mampu mencegah seseorang untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.
Dengan kata lain, dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka,sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak berasa dizalimi oleh orang tua dari segi hak-hak tertentu. Natijah dari sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh dari orang tua dan menganggap rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan diluar rumah.
Persekitaran
Dalam islam persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Sebab jiran yang baik lebih mulia dari saudara yang jauh.
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik. Sebagai kesimpulannya, pendidikan anak mestilah dimulakan dari pendidikan orang tua itu sendiri dan ia bermula di rumah.
Kedua,kita perlulah menghayati peringkat yang diajarkan oleh Rasulullah dalam pendidikan anak-anak. Dan ketiga pilihlah persekitaran yang baik untuk anak-anak.
Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik dari keadaan fizikal tapi baik juga dari segi mental dan kehidupan beragama.
Afiqah Rohaizi
Darul Quran
Pandangan Presiden (2): Knowledge; Instrumental, Hermeneutic, Emancipator
Apabila Habermas, seorang penganut teori kritik melakukan kritikan terhadap aliran pendidikan positivisme, beliau menyebut tiga bentuk aliran tersebut.
Tiga bentuk tersebut ialah instrumental knowledge, di mana tujuan pengetahuan ialah untuk mengawal, memanipulasi dan mengeksploitasi objeknya. Aliran kedua ialah hermeneutic knowledge atau intrepetative knowledge yang mana tugas pengetahuan ialah untuk memahami.
Aliran ketiga ialah critical knowledge atau emancipator knowledge iaitu gabungan antara dua aliran yang sebelum ini. Pendekatan ini menempatkan ilmu pengetahuan sebagai katalis untuk membebaskan potensi manusia.
Pandangan Habermas ini ialah sebagai permulaan untuk membicarakan secara telus dan jujur tentang asas dan dasar kepada sistem pendidikan. Kita memahami pada akarnya terdapat banyak pandangan cendekiawan dan umum berkaitan dengan pendidikan.
Paradigma konservatif sebagai contoh merupakan satu bentuk paradigma yang agak lembap dan kurang memberangsangkan. Ia bermakna, perbezaan darjat atau kasta kalangan masyarakat merupakan satu fenomena alami yang merupakan sunnah dan fitrah yang tidak dapat dielakkan lagi. Bagi mereka, perjuangan untuk mengubah dan merubah suasana perbezaa ini tidak perlu kerana ia sudah ditentukan dalam kalam Tuhan.
Pandangan kedua ialah paradigma liberal. Secara asasnya, pandangan liberal amat ditolak. Mereka beranggapan, betapa sistem pendidikan tiada kaitan langsung dengan perkembangan ekonomi dan politik. Namun dalam masa yang sama, mereka berusaha untuk mengaitkan pendidikan dengan ekonomi dan politik seperti dengan mencantikkan preasarana persekolahan itu sendiri.
Paradigma Islam menurut fahaman Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) ialah suatu bentuk pendidikan yang syumuliah dan berteraskan ketuhanan. Apabila disebut soal keagamaan, maka adalah satu kerugian yang maha besar apabila konsep tersebut hanya dijuzukkan dalam beberapa skop yang kecil seperti bidang syariah dan usuluddin semata-mata.
Berteraskan pandangan Sir Iqbal, “Pendidikan sekarang tidak menumpahkan air mata dan tidak mengajar hati menjadi khusyu”, maka begitulah pandangan GAMIS berkaitan dengan sistem pendidikan yang ada sekarang. Amat malang apabila dunia pendidikan hanya memberikan keuntungan hanya kepada yang memiliki mutu dan nilai keintelektualan yang tinggi tetapi mengetepikan nilai emosional dan spiritual.
Kita tidak menafikan bahawa antara kerugian dunia pendidikan Malaysia ialah apabila mereka tidak mampu menyediakan kumpulan guru yang bnar-benar bersedia dari sudut kejiwaan dan jasad luaran. Charles Silberman dalam bukunya Crisis In The Classroom menyebut berkaitan kegagalan dunia pendidikan, “Ia gagal membekalkan para calon guru dengan sebuah perasaan dengan adanya tujuan tertentu, sebuah filosofi pendidikan tertentu.”
Guru sepatutnya dilatih secara Islamiah dengan bekalan roh keagamaan yang kental, emosi yang utuh dan pengetahuan yang bermakna. Roh keagamaan yang kuat mencetuskan kuasa pengaruh yang tinggi. Kekuatan emosi menjadikan guru lebih bersedia untuk membentk tata dan tingkah laku pelajar dalam mencorak nilai kehidupan yang lebih baik.
Manakala pengetahuan semestinya merupakan mesj yang paling utama dalam memperkasakan nilai pendidikan itu sendiri. Allah taala menyifatkan orang yang berilmu sebagai orang yang paling mengenali Allah dan gentar kepada-Nya. Nabi SAW mengiktiraf orang berpengetahuan dengan mengibaratkan mereka sebagai bulan yang mengambang indah.
Manakala seorang konsultan dalam bidang pengurusan, Peter Drucker bahkan menyifatkan ekonomi Amerika sendiri menuju “ekonomi pengetahuan” atau k-ekonomi. Bahkan beliau dengan berani mempertikaikan kuasa pengalaman dalam memacu ekonomi dengan berkata, “Setiap orang yang terlibat dalam pelbagai industri yang baru bangkit memiliki modal utama berupa pengetahuan. Tidak ada satu pun yang berteraskan pengalaman.”
Maka sejauh mana kesungguhan dan kecaknaan Malaysia terhadap isu melahirkan guru yang cemerlang dan berwibawa serta mampu menjadi kuasa pengaruh kepada murid. Apapun, bumi Malaysia tetap bertuah dan mengucapkan terima kasih apabila kementerian bersungguh untuk mengetepikan ‘guru lembut’ yang boleh mencetuskan konflik moral dan fitrah dalam diri pelajar itu sendiri.
GAMIS tidak dapat menafikan kelemahan ramai guru agama yang tidak mempunyai disiplin yang baik dalam mengajar, bahkan dalam mendidik. Kesan daripada guru agama yang tidak mempunyai nilai disiplin yang tinggi itu telah memberikan kesan yang sangat buruk terhadap institusi pendidikan itu sendiri.
Pandangan Presiden (1): Magis, Naif, Kritis
Terdapat tiga golongan dalam tingkat kesedaran menurut tulisan William F. O’neil. Golongan Magis, Naif dan Kritis. Tiga golongan inilah yang akan saya sentuhkan sedikit bagi membincangkan tentang sistem pendidikan secara sangat ringkas.
Golongan Magis tidak melihat sesuatu sistem itu ada kaitan dengan perubahan norma kemanusiaan. Maknanya, golongan ini melihat perubahan sistem pendidikan tidak ada kaitan dengan kerosakan sosial. Itu sebagai contoh.
Golongan Naif pula melihat aspek kemanusiaan itu yang penting, bukan sistem. Biasanya dalam dunia usrah, apabila dimuhasabahkan kenapa usrah tidak bergerak, maka golongan ini akan berkata, “Kelemahan perjalanan usrah bukanlah disebabkan sistem kerana sistem sudah baik. Yang lemahnya adalah tenaga penggerak.”
Manakala golongan ketiga iaitu Kritis melihat aspek sistem sebagai faktor terpenting. Kerosakan sosial kemungkinan ada kaitan juga dengan aspek manusia. Namun aspek yang paling berperanan dalam membentuk sosial dan norma kemanusiaan adalah sistem itu sendiri.
Kelemahan sistem pendidikan itulah yang menyebabkan berlakunya kerosakan sosial di Malaysia. Dari sudut yang mana? Akan saya jelaskan kelak termasuk dari sudut terma aksiologi. Akan saya jelaskan juga apa ertinya liberalisme pendidikan dan liberasionisme.
Dasar Pendidikan Nasional “Penjana” Generasi Harapan
“ Keunggulan sesebuah tamadun terletak pada keunggulan akhlak umatnya ”, demikian menurut sebuah pepatah Arab. Peningkatan mendadak kes jenayah yang berlaku khususnya dalam kalangan remaja seolah-olah tidak berpenghujung dan membingungkan pelbagai pihak. Jenayah rogol, samun, seks bebas dan lain-lain semakin sebati dengan identyang bergelar remaja. Kita sering dilaungkan dengan slogan, “ Remaja Harapan Bangsa ”, “Remaja Aset Kepemimpinan Negara ” dan banyak lagi. Namun begitu, kondisi semasa akhlak remaja kita seolah-olah membayangkan keruntuhan institusi pemerintahan yang bakal berlaku pada masa hadapan. Di mana silapnya dan siapa yang harus dipersalahkan?.
Dasar kolonialisme yang melanda negara suatu masa dahulu sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya. Puak kolonialis yang kononnya ingin membangkitkan kesedaran membina negara sebenarnya telah memperkudakan ‘kita’ untuk merealisasikan hasrat ‘murni’ mereka. Mereka berkuasa menetapkan dasar-dasar negara yang menjadi tunjang halatuju sesebuah negara. Dasar yang dilaksanakan di negara mereka menjadi acuan dalam merangka sistem dan perlembagaan negara ini pada ketika itu. Seterusnya masyarakat kita diracun pula dengan pelbagai isme yang melengkapkan agenda penjajahan golongan ‘berjasa’ ini. Dasar sekularisme yang didokong oleh penjajah berjaya menidakkan keperluan agama dalam segenap aspek kehidupan seperti politik, ekonomi sosial dan pendidikan.
Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sebagai indikator utama tanpa memberi keutamaan terhadap aspek keagamaan telah berjaya melahirkan generasi demi generasi yang diimpikan oleh puak kolonialis ini. Contohnya, subjek Sains yang diajar seolah-olah bukan sahaja menidakkan kekuasaan dan peranan Allah dalam segala kejadian yang berlaku bahkan cuba menonjolkan kehebatan tokoh-tokoh barat dalam pelbagai penemuan baru sehingga generasi kita tidak pernah tahu sumbangan besar tokoh-tokoh Islam seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan lain-lain dalam pelbagai bidang ilmu. Ketidakseimbangan elemen pendidikan antara aspek rohani, jasmani dan akal dalam sistem pendidikan melahirkan individu yang dulu, kini dan selamanya mencetuskan masalah kepada masyarakat dan negara.
Pelbagai solusi telah dibentangkan namun setiap usaha akan menemui jalan buntu selagi kita terus-menerus memisahkan agama dari pendidikan. Serangan demi serangan yang dilancarkan oleh penjajah melalui kempen budaya hedonisme terus melenyapkan jati diri remaja hari ini sehingga mematikan terus fungsi pendidikan sedia ada itu sendiri. Lebih menyedihkan, ‘segelintir’ daripada kita turut rancak menjayakan misi ‘membina’ remaja harapan ini dengan menghidangkan pelbagai program realiti TV buat tatapan rakyat tercinta. Kerajaan sedia ada perlu sedar akan kepentingan sistem pendidikan berteraskan Islam di semua peringkat sebagai solusi terhadap kebejatan sosial yang melanda generasi muda hari ini.
Oleh itu , pertubuhan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), telah mencari alternatif lain untuk kerajaan yang sedia ada dengan menyediakan pentas bagi menghimpunkan seluruh sarjanawan pendidikan dan para pemikir disegenap sektor kerajaan mahupun swasta, rasmi ataupun tidak rasmi, bagi membahaskan dan meresolusikan sebuah kertas kerja cadangan formula reformasi yang perlu dilakukan dalam sistem pendidikan Islam negara, ialah dengan mengadakan Kongres Rejuvinasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang akan diakan pada 11 Julai ini. GAMIS berharap dengan mengadakan kongres rejuvinasi ini mampu mengeluarkan kerajaan dari ketidaktepatan pendefinisian masalah , kebuntuan jalan penyelesaian yang diambil lebih penting memberikan impak “political will” yang tinggi untuk kerajaan membuat post-mortem secara menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara.
Ini adalah satu-satunya benteng terakhir paling realistik untuk kerajaan Malaysia bagi menyelamatkan generasi muda pada masa kini dan seterusnya mengharapkan sistem pendidikan dapat dijadikan sebagai penjana “Generasi Harapan” yang diidam-idamkan.
GAMIS SUKARELAWAN DQ
Pendidikan Malaysia Perlukan Acuan Sendiri
Oleh: Nurkhizan bt Yusof, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia
Falsafah pendidikan negara digubal untuk menghasilkan rakyat Malaysia yang mempunyai idealisme dan cita-cita melalui sistem pendidikan yang berdasarkan acuan yang kita mahukan selain dari mengikut keperluan rakyat. Penggubalan Falsafah Pendidikan Negara berdasarkan perkara-perkara seperti Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961, Laporan JK Kabnet 1974, Laporan JK Kabinet 1979, Rukunegara, Prinsip-prinsip pendidikan, Matlamat pendidikan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Mengikut Perakuan 191, Laporan Jawatan Kabinet, 1979 menegaskan bahawa:
” Pendidikan di negara ini adalah untuk mencapai perkembangan murid yang menyeluruh, iaitu perkembangan yang meliputi aspek kognitif atau intelek, jasmani, sosial, emosi, sikap dan nilai-nilai etika pada murid-murid dan generasi akan datang. “
Kemudian, dasar pendidikan dikaji semula maka Falsafah Pendidkan Negara 1988 digantikan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1996 iaitu:
“ Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. “
Sejarah pendidikan Malaysia kebanyakkannya berdasarkan dari dasar-dasar penjajah atau teori barat yang pernah menakluki Malaysia yang dikenali sebagai Malaya suatu ketika dahulu. Pendidikan yang berasaskan falsafah pendidikan barat sebenarnya hanya bertujuan untuk memberikan pendidikan yang paling asas kepada Malaya. Ilmu yang diberikan hanyalah sekadar untuk memenuhi tuntutan rakyat Malaya supaya mereka juga dididik. Malangnya, budaya berfikir dan mengasah minda tidak sama sekali diterapkan. Sehingga kini ia bukanlah menjadi saluran utama untuk mendidik jiwa masyarakat kearah pembentukkan budaya berfikir yang membolehkan mereka belajar untuk berfikir di luar kotak.
Sejujurnya, pendidikan yang ada di Malaysia dilihat memerlukan transformasi yang membolehkan Malaysia bersedia kearah perubahan globalisasi. Kita tidak seharusnya meletakkan pendidikan sebagai satu cabang yang kurang penting dalam mencorakkan suasana dan pembangunan negara. Malah, pendidikan merupakan satu teras yang perlu difokuskan supaya kita berjaya membentuk sebuah masyarakat yang maju dari aspek pemikirannya. Apabila pemikiran telah maju dan bergerak seiringan dengan pembangunan fizikal, rohani, emosi dan intelektual maka, ini barulah dikatakan sebagai kesepaduan pendidikan yang perlu dimulakan diperingkat bawah lagi.
Setelah 50 tahun merdeka, adakah relevan lagi kita terus menggunakan falsafah dan asas pendidikan penjajah walaupun sebenarnya kita telah ada satu falsafah pendidikan yang memiliki kesepaduan ilmu dari aspek yang pening seperti jasmani, rohani, emosi dan intelektual seperti dalam Falsafah Pendidikan Negara. Namun, apabila ia dalam tahap pelaksanaan, ia hanya melibatkan intelektual semata-mata dan tidak pun mempunyai elemen lain yang boleh membentuk akhlak dan peribadi muslim dalam diri pelajar. Oleh itu, kesepaduan ilmu seperti yang telah digarapkan di dalam falsafah pendidikan negara tidak mampu sampai ke dalam diri masyarakat sekarang.
Sudah separuh abad, adakah kita masih perlukan acuan yang dicedok dari barat untuk mencorak anak bangsa kita? Kita mahukan bangsa Malaysia, satu Malaysia tetapi adakah acuan yang kita berikan kepada masyarakat akan membangunkan mereka? Kita sudah ada identiti, kita sudah pandai berdikari dalam menguruskan negara, namun apa yang kita perlukan bukanlah ukuran intelektual semata-mata dalam pendidikan negara kita tetapi, segala aspek kita perlu dididik masyarakat supaya bukan sahaja menjadi intelektual, tetapi aplikasi ilmu dan disiplin yang dilahirkan dari akhlak yang telah diterapkan dalam diri mereka.
Teori Darwinisme dalam pendidikan di Malaysia
Setelah melihat blog kongres pendidikan, saya tertarik untuk berkongsi cerita dengan sahabat sekelian tentang sistem pendidikan di Malaysia secara umumnya. mungkin apa yang nak disampaikan ini, tidak terlalu memfokuskan subjek pendidikan Islam, namun saya menganggap ia suatu perkara menarik yang boleh dikongsi bersama.
Setahun yang lalu, saya telah mengambil subjek FSA3000 (Falsafah Sains)- UPM, ia adalah subjek elektif luar untuk kursus saya. Apa yang menariknya didalam kelas ini kami belajar tentang paradoks, perbandingan agama, serta teori Darwin. Untuk tugasan pertama kami, kami ditugaskan untuk membuat kesan teori Darwinisme dalam sistem pendidikan di Malaysia.
TEORI DARWIN
Teori Darwin atau Teori Evolusi merupakan falsafah tentang bagaimana asal usul kejadian manusia. Teori ini menggagaskan kejadian alam ini terjadi 'by accident'. Bermula dari satu sel dan berevolusi menjadi suatu makhluk yang lebih sempurna. Sebagai contoh, satu sel berevolusi menjadi ikan, seterusnya berevolusi lagi menjadi makhluk berkaki empat, kemudian berevolusi menjadi menjadi makhluk berkaki dua dan akhirnya menjadi manusia yang sempurna. Namun begitu, teori ini dapat disangkal menggunakan Hukum Termodinamik ke 2.
Bagi sesiapa yang megetahui tentang teori ini, mereka akan mengenali siapa "Ota Benga" yang menjadi mangsa kepada pembuktian teori ini.Teori inilah yang digunapakai didalam sistem pendidikan kita di Malaysia. Ia bukan sahaja diaplikasi didalam subjek Biologi tetapi semua subjek yang kita pelajari. Mungkin ada yang hairan, mengapa saya berkata begitu.
APA YANG DIGAGASKAN OLEH TEORI EVOLUSI
1- Gagasan yang paling besar ialah MENIDAKKAN KETUHANAN didalam kehidupan manusia.
2- Didalam teori ini, 'survival' merupakan pillar utama untuk memastikan
keberlangsungan sesuatu makhluk. Jika siapa kuat, akan mengalahkan yang lemah,
yang besar akan mengalahkan yang kecil.
KAITAN TEORI DARWIN DIDALAM PEMBELAJARAN DIMALAYSIA
Melalui gagasan yang saya tuliskan, kita dapat melihat kesemua subjek yang diajarkan disekolah tidak mengaitkan dengan ketuhanan. Tidak pernah kita melihat kesimpulan daripada hasil pembelajaran biologi mengarah kepada kuasa ketuhanan. Begitu juga subjek fizik, kimia dan 'related science' yang lain. Apatah lagi didalam subjek seperti ekonomi, sejarah, geografi dan lain-lain.
Pendidikan yang tidak berteraskan ketuhanan akan menyebabkan penuntutnya tidak mempunyai roh terhadap apa yang dipelajari. Apa yang berlaku didalam sistem pembelajaran adalah menghabiskan silibus, menghafal fakta, menganalisis, membuat perbandingan dan menyelesaikan segala tugasan yang diberikan kepada mereka. Tidak ada langsung elemen peningkatan iman terhadap subjek yang dipelajari.
Hasilnya yang berlaku didalam pendidikan ialah lahirnya pelajar yang berdisiplin tetapi tidak berakhlak. Sebagai contoh, pelajar sekolah yang berdisiplin tidak akan merokok disekolah kerana ada undang-undang yang membatasi mereka, tetapi apabila berada diluar sekolah mereka akan merokok kerana tidak wujud undang-undang tersebut. Begitu juga pelajar perempuan menutup aurat disekolah, tetapi membuka tudung apabila berada diluar. Inilah bezanya berdisiplin dan berakhlak.
Berdisiplin hanya akan berlaku bilamana berada ditempat yang telah ditetapkan undang-undangnya, manakala berakhlak akan berlaku bila-bila masa, dimana sahaja samada dalam keadaan berseorangan mahupun secara ramai. Pelajar berakhlak tetap tidak akan melakukan perkara yang melanggar hukum dan undang-undang kerana apa yang dilakukannya bukan kerana manusia tetapi telah sampai kepada tahap yang lebih tinggi iaitu ketuhanan.
Didalam teori kedua menggagaskan teori 'survival' dimana yang kuat akan mengalahkan yang lemah dan besar akan mengalahkan yang kecil. Jika kita melihat didalam kehidupan hari ini, contohnya didalam skop ekonomi kapitalisme, syarikat gergasi akan menguasai sistem ekonomi sehinggakan pengusaha kecil tidak akan mendapat tempat didalam dunia perniagaan. Begitu juga negara-negara besar yang berkuasa sering menyerang negara kecil dan lemah, orang yang berkuasa seperti pemimpin negara akan menzalimi rakyat. Semua yang berlaku ini adalah hasil fahaman Teori Darwin @ Teori evolusi. Mungkin point kedua ini tidak menjadi unsur utama didalam sistem pendidikan yang dibincangkan tetapi sekadar perkongsian untuk kita semua.
KESIMPULAN
Perlu difahami disini, bahawa Teori Darwin @ Teori evolusi bukanlah suatu falsafah yang tidak ada kepentingan kepada sesiapa, tetapi merupakan barah kepada permulaan kehidupan manusia. Secara sedar atau tidak kita telah melalui semua sistem ini dan melihat sendiri segala yang berlaku adalah berpunca teori ini. Sekian.
RUJUKAN
http://www.harunyahya.com/
Berpelajaran Tidak Berpendidikan
“Ramai yang beranggapan bahawa kalau belajar Sains dan Matematik, boleh jadi kaya. Boleh buat duit. Orang sudah tidak pentingkan bidang Sejarah, bidang Geografi. Geografi sudah hampir tiada di sekolah sebab ia tidak mendatangkan keuntungan”, rungut Prof. Khoo Kay Kim dalam Buletin Utama malam tadi.
Saya tidak mampu berkata apa-apa kecuali mengangguk dan terus mengangguk.
Mengangguk setuju dan mengangguk kecewa.
Hari ini Buletin Utama membangkitkan isu kegagalan sistem pendidikan kita berfungsi melahirkan modal insan, sebagaimana yang diharapkan oleh negara.
Pelajar hari ini berpelajaran tetapi tidak berpendidikan.
Apa maknanya itu?
Biar pun saya sedikit kebingungan dengan penjelasan Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz tentang beza berpelajaran dan berpendidikan, tetapi mesejnya jelas. Kita mengukur kecemerlangan dari jumlah A yang terkumpul, hingga ada sekolah yang menyekat pelajar dari mengambil mata pelajaran tertentu di dalam peperiksaan SPM, demi untuk tidak menjejaskan rekod cemerlang sekolah!
S. Subashini,12, a student of Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Simpah died in hospital, a day after she was found hanging from the ceiling of her room. [The New Straits Times Online]
Lupakah kita kepada berita terburuk sepanjang 2007 apabila S. Subashini, 12, dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sempah ditemui mati, membunuh diri kerana gagal mendapat A dalam kesemua peperiksaan UPSR yang lalu.
Sejauh mana isu ini diperbahaskan?
Sejauh mana kematian S. Subashini dibedah siasat puncanya? Atau ia hanya sekadar satu isu yang datang dan pergi? Tidakkah gila masyarakat kita hari ini, boleh melupakan kematian seorang anak muda seusia 12 tahun yang mati kerana kurang cemerlang dalam UPSR?
Sesungguhnya berita itu benar-benar menjadikan saya kecewa dan hampir putus harapan terhadap masa depan negara ini. Lebih-lebih lagi dengan komen simplistik semua pihak yang ditemui oleh pihak media. Sedangkan kes adik S. Subashini sepatutnya menggegarkan seluruh sistem pelajaran Malaysia, izinkan saya menggunakan perkataan rasmi ‘pelajaran’ biar pun jiwa ini lebih mencari nilai sebuah ‘pendidikan’.
“Modal insan bukan bertujuan untuk melahirkan pekerja semata-mata. Kita sepatutnya berusaha memastikan adanya generasi muda yang boleh berfikir dan mencipta idea. Itu tujuan terpenting bagi mana-mana sistem pendidikan bagi sebuah negara”, komen Profesor Khoo Kay Kim lagi.
Dan saya terus kecewa dan berduka di depan televisyen.
Siapakah yang peduli kepada saranan beliau?
Siapakah yang mahu bersungguh-sungguh berfikir tentang hal ini?
HARAPAN DARI SEBUAH PENDIDIKAN
Saya teringat kembali kepada presentation saya semasa menjadi panelis bagi Seminar Ibn Khaldun II yang diadakan bulan lalu di Institut Integriti Malaysia. Saya memberikan penekanan kepada aspek pendidikan dalam menjawab soalan “Islam: A Blessing to Malaysians?”
“Biar pun saudara Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan kelebihan yang dinikmati oleh orang Islam dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, sedangkan pembayar cukai Malaysia lain yang Hindu, Kristian dan Buddha dirangkumkan dalam satu kategori dan diberikan pendidikan MORAL, saya tidak dapat melihat ia sebagai suatu kelebihan bagi umat Islam di Malaysia.
Bahkan mungkin mata pelajaran itulah punca kepada masalah mengapa kita sulit untuk menjawab ISLAM: A BLESSING TO MALAYSIANS?”, saya memulakan ucapan.
Sejauh manakah pendidikan Islam di Malaysia berjaya melahirkan Muslim yang boleh menjustifikasikan Islam sebagai rahmat kepada seluruh rakyat Malaysia (boleh juga dibaca sebagai wa maa arsalnaaka illaa rahmatan lil ‘aalameen)?
Saya lontarkan isu ini kerana saya tidak melihat kecenderungan masyarakat kita untuk meletakkan pendidikan sebagai suatu keutamaan dalam menggarap masalah-masalah yang wujud di negara kita. Semuanya mahu diselesaikan dengan politik, ketika politik kita gersang dari integriti dan kejujuran. Masakan tidak, jika dulu parti politik banyak digerakkan oleh guru selaku pendidik, tetapi kini trend berubah kepada kemenangan politik bagi yang punya wang dan sokongan mereka yang punya wang. Itu sahaja sudah cukup untuk menjelaskan warna politik negara kita.
Apabila saya sebutkan pendidikan, saya maksudkan ia sebagai pendidikan formal dan tidak formal. Malah saya lebih menjurus kepada mengharapkan agar kita kembali kepada fungsi pendidikan tidak formal yang menjadi tanggungjawab setiap individu. Ibu bapa ada tanggungjawab pendidikan kepada anak-anak, imam dan paderi ada tanggungjawab mendidik pengikut masing-masing, dan seterusnya mereka yang mempunyai minda kritis mempunyai tanggungjawab untuk membawa pemikiran mereka kepada masyarakat melalui seminar, dialog, perbincangan yang merupakan sebahagian daripada maksud pendidikan.
Tetapi kita tidak minat dengan semua itu.
MEMPOLITIKKAN SEGALANYA
Kita lebih cenderung untuk mensensasikan apa sahaja yang boleh melakukan surat khabar.
Asalkan ada sahaja isu yang muncul, semuanya mahu ditangani dengan kuasa, dengan politik dan kemudian semuanya berakhir sebagai berita sensasi dan tidak ada apa-apa yang dapat diketengahkan sebagai bahan untuk mendidik masyarakat.
Antara buku yang diharamkan di Malaysia, biar pun ia telah banyak membetulkan salah faham masyarakat antarabangsa tentang Muhammad SAW, malah ramai pula yang memeluk Islam kerananya.
Ada buku yang pelik sedikit, haramkan!
Ada sahaja wacana yang lain dari definisi rasmi, ban!
Timbul isu penggunakan kalimah Allah dalam literasi Kristian, sekat, haramkan, saman… segala-galanya disensasikan dan berakhir dengan sentimen yang tidak punya apa-apa nilai pendidikan.
Malah kadang-kadang kita begitu gelojoh mahukan hasil tanpa mahu melalui prosesnya. Saya meragui rasionalnya permintaan Luthfi Assyaukanie dari Jaringan Islam Liberal yang mahukan dialog dihentikan, sebaliknya terus sahaja kepada menghasilkan polisi kebebasan beragama kerana baginya, dialog itu membuang masa.
Saya 50-50 dalam mengiya dan menidakkannya.
Dialog membuang masa, jika kita sensasikan apa sahaja yang ingin dibicarakan. Kita berdialog bukan untuk mendidik dan tanpa ketulusan motif. Kita pilih tajuk-tajuk yang mencetus emosi masyarakat dan kemudian kita memuncung bibir apabila dialog gagal menghasilkan apa-apa.
DIALOG POLISI
Tetapi semasa Seminar Ibn Khaldun II berlangsung, saya cuba meminjam pengalaman ketika mengendalikan dialog antara agama ketika saya bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara. Dialog itu bukan dialog teologi tetapi ia adalah dialog polisi. Kita bukan berhasrat mahu mengheret agama bertanding di medan dialog tentang siapa benar dan siapa batil, tetapi mengajak pandangan agama dikongsi bersama untuk mencari formula penyelesaian kepada isu Euthanasia. Memanfaatkan agama untuk menghasilkan polisi yang boleh disepakati bersama.
Tiada siapa yang membawa superiority attitude dalam dialog berkenaan.
Wakil Protestan dan Katholik memberikan pandangan berdasarkan kepercayaan masing-masing, dan saya memberikan pandangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Hasilnya kami dapat mengutip beberapa pandangan bernas dari kesemua wakil untuk diajukan kepada National Health Service (NHS) sebagai polisi kesihatan dalam kes Euthanasia.
Ia suatu pengalaman berharga.
Pengalaman yang memberikan keyakinan kepada saya bahawa seteruk mana sekali pun polemik politik, ekonomi dan sosial masyarakat, sinar harapan tetap ada di dalam pendidikan.
Semua pihak harus kembali kepada tugas yang lahir bersama tujuan hidup kita… mendidik yang makruf dan menegah yang keji. Jalannya adalah pada mendidik masyarakat.
Tetapi apabila pendidikan diinstitusikan secara membuta tuli, ramai yang melihat pendidikan sebagai tugas guru dan sekolah, manakala sekolah pula menunding jari bahawa ibu bapa adalah guru pertama buat anak-anak mereka. Segalanya berakhir dengan tiada siapa yang memberikan sepenuh hatinya kepada komitmen mendidik.
Semakin bertambah ilmu dan maklumat masyarakat, tindak tanduknya semakin dungu dan tidak masuk akal.
SERANGAN SOCRATES
Inilah yang menjadi kritikan Socrates terhadap golongan Sophists dan relativism mereka dalam menangani pendidikan.
Golongan Sophists ini hanya sibuk mengajar kemahiran dan skil kerja kepada anak-anak Athens tetapi mereka mengabaikan soal yang lebih penting.
“Apakah tujuan hidup ini?”
“Apakah nilai yang sepatutnya dipegang oleh seorang manusia dalam hidup ini?”
“Bagaimanakah seorang manusia itu boleh menyempurnakan karaktor dan personalitinya?”
Persoalan sebegini terabai tanpa perhatian. Semuanya ke arah melahirkan ‘pekerja’, melahirkan ‘ahli politik’ yang licik dan bijaksana.
Sedangkan Socrates berjuang bermati-matian untuk memberitahu masyarakat Athens bahawa matlamat pendidikan adalah untuk menyempurnakan watak seorang manusia, memulihkan akal agar terguna secara bijaksana dan melatih murid-murid agar berdialektik dan tidak kekok mengemukakan soalan dalam mencari kefahaman.
Tetapi seruan Socrates tidak diendahkan.
Akhirnya pada usia 70 tahun, Socrates telah dikenakan tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda di Athens, bahkan mengimani Tuhan lain yang bukan Tuhan rasmi masyarakat arus perdana.
Tidakkah itu sejarah yang berulang?
Bahawa masyarakat kita juga menuju ke arah yang sama.
Jika segala-galanya berorientasikan keuntungan semata-mata… tidak hairan ilmu agama menjadi beku tanpa makna, ilmu sains kemanusiaan terabai tanpa perhatian… kerana yang diutamakan hanyalah untuk melahirkan ‘pekerja’, dan ahli politik yang licik dan bijaksana… bukan pemikir yang sering dituduh sebagai peracun minda.
SAYA HIDUP UNTUK MENDIDIK
Biar pun profesyen saya bukan sebagai seorang guru, tetapi sebahagian maksud hidup saya adalah untuk membentuk dan mendidik manusia… biar pun terpaksa ‘meracun’ minda mereka.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
6 Januari 2008
sumber: saifulislam.com
Buntunya Bapa Terhadap Pendidikan Anaknya
Ini kelemahan terbesar saya.
Saya tidak pandai mengajar anak mengulangkaji pelajaran.
Saya boleh mengorek banyak benda daripada jiwa dan minda anak, tetapi untuk mengajarnya mengulangkaji pelajaran, ia sangat sulit. Mungkin itulah yang saya warisi daripada zaman kanak-kanak saya. Saya tidak pernah dipaksa belajar, tetapi saya belajar sendiri. Saya membaca buku murid darjah 3 semasa saya di darjah
1. Saya belajar sesuka hati, dan itulah cara belajar saya untuk keputusan-keputusan peperiksaan saya di sepanjang zaman persekolahan.
Sungguh serabut, untuk mendesak, mendesak dan terus mendesak si anak duduk mengulangkaji pelajaran. Saya boleh menjawab soalan andai ada yang anak-anak tidak tahu, mengajar mereka beberapa perkara yang mungkin mereka terlepas pandang daripada kelas di sekolah. Tetapi saya tertekan untuk mendapati anak-anak saya tidak tahu apa-apa, kebingungan apabila balik ke rumah, dan saya perlu mengajar satu persatu apa yang ada di dalam buku.
Verbatimly!
Mujurlah ada Ummu Saif.
Dialah yang sabar mengajar anak-anak. Walaupun dengan marah dan selalu juga jadi tertekan, dia terus mengajar dan mengajar. Mungkin isteri saya kecewa kerana saya tidak berada di paras yang sama dengannya dalam mengendalikan latihan tubi untuk anak-anak. Saya juga tidak punya apa-apa alasan untuk mempertahankan diri.
Saya mengalah.
ISU YANG LEBIH BESAR
Jauh di fikiran saya, ada sesuatu yang lebih mengganggu fikiran. Selain cara belajar saya semenjak kecil hingga dewasa yang bebas tanpa disuruh-suruh, kesusahan untuk mengajar anak berpunca dari rasa bantahan saya kepada silibus. Serba serbinya bercanggah dengan apa yang ada di kepala saya.
Siapalah saya untuk mengkritik silibus?
Saya bukan guru.
Saya bukan pakar pendidikan.
Hanya secebis pengalaman tatkala diamanahkan menjadi Pengetua dan guru di Belfast Islamic School, pengalaman di sana amat melekat di kepala saya.
Saya masih ingat, betapa silibus-silibus sedia ada yang diguna pakai di sekolah-sekolah sekitar UK dan Ireland banyak yang menimbulkan masalah kepada murid-murid. Kebanyakan sekolah, menggunakan silibus yang dirasakan bagus hasil pengalaman ibu bapa yang belajar di negara masing-masing. Lalu silibus Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Turki dan Bangladesh dibawa untuk dijadikan bahan mengajar anak-anak mereka yang lahir dan membesar di United Kingdom.
Di sekolah, saya pendamkan kebanyakan silibus dan saya gantikan ia dengan pelbagai bahan yang bersifat permainan dalam mengajar, terutamanya bagi pelajar-pelajar peringkat rendah. Saya ajak anak-anak murid menonton pelbagai video seperti Adam’s World, malah Sesama Street juga, tetapi kemudiannya diikuti dengan perbincangan, perbualan, gelak ketawa, dan dalam suasana itulah, murid-murid ini saya ceriakan dalam pembelajaran mereka di Islamic School saya.
Ketika itu, saya mengajar sambil meribakan Saiful Islam. Saya yang bukan guru, tidak pernah menerima latihan perguruan, hanya meyakini fitrah anak-anak bahawa kegemaran mereka bermain itulah sebenarnya alat terbaik untuk mereka belajar.
Self-initiative, self directed dan self-chosen…
Tugas guru pula adalah untuk menyediakan pelbagai alat permainan dan aktiviti yang boleh dipilih dan seterusnya bercakap dengan murid-murid tentang apa yang mereka main, sebagai suatu proses pembelajaran yang menjadikan anak-anak suka belajar.
Saya sedar semua itu tidak cukup.
MASTERS OF EDUCATION
Selepas menyelesaikan kontrak di Belfast Islamic School / Islamic Centre, saya mendaftarkan diri sebagai pelajar di dalam program Masters of Education di The Open University UK dengan pengkhususan Learning Curriculum and Accessment.
Saya masih ingat, dua kes saya bentangkan kepada rakan-rakan sepengajian yang berada di Hawaii, di Jepun, di penjara Amerika Syarikat serta Isle of Man. Menerusi internet, kami
berdiskusi tentang kes yang saya bentangkan iaitu:
Bagaimanakah dalam sebuah sekolah rendah yang ada pelajar berketurunan Pakistan dan Turki (Hanafi), Melayu (Syafie), Morocco (Maliki) dan Arab Saudi (Hanbali), subjek fekah mahu diajar? Misalnya dalam bab Qunut atau pembatalan wudhu’?
Bagaimanakah perbandingan agama mahu diajar kepada murid-murid yang 20% daripada mereka berbapakan Muslim serta beribukan Kristian, ibu berkelakuan baik dan bapa banyak masalah moral. Apakah justifikasi kebenaran agama jika contoh secara fenomenologi tidak menyokong teori?
Ini adalah dilema-dilema yang saya hadapi semasa mengendalikan sekolah. Saya sangat menyukai pengajian itu dan konsisten bertemu dengan supervisor jauh di selatan iaitu di Limerick sebulan sekali, berbincang dengan beliau yang beragama Kristian, tentang kaedah mensilibuskan Pengajian Islam bagi murid-murid di sekolah Islam.
Saya masih ingat komen beliau dalam pertemuan terakhir kami, “betapa pentingnya cara agama dibentangkan di dalam silibus, ia boleh menjadi penentu sama ada agama itu difahami dan diterima atau tidak, lebih daripada kebenaran yang ada dalam agama itu sendiri!”
Terpana saya dengan kata-katanya itu.
Rezeki saya tidak di situ. Ummu Saif dipanggil pulang oleh pihak kerajaan untuk bekerja di Malaysia. Kami tinggalkan Ireland secara mengejut untuk pulang ke Malaysia. Pengajian saya terbengkalai separuh jalan. Dengan permulaan gaji RM800 sebulan sejurus pulang ke Malaysia, cita-cita untuk menghabiskan pengajian itu saya pendam hingga terpadam.
Sebahagian daripada buku teks MEd saya yang masih ada dalam simpanan
Hari ini, buku-buku dan nota-nota pengajian itu saya keluarkan kembali. Semuanya gara-gara rasa tertekan saya melihat buku teks anak-anak saya serta progres mereka di dalam pelajaran, selepas hampir separuh tahun 2009 berlalu.
Saya berasa sangat terpukul melihat silibus Aqidah di dalam buku yang disediakan oleh JAIS, murid tahun 1 diajar tentang 20 Sifat Wajib bagi Allah dan 20 Sifat Mustahil bagi Allah! Saya tidak ada masalah dengan pendekatan Ilmu Kalam dalam penelitian terhadap Usuluddin agama kita, tetapi untuk anak saya yang berusia 7 tahun itu diajar mengimani Allah dengan wasilah ilmu Sifat 20, saya tidak menyetujuinya.
Begitu juga mata pelajaran Bahasa Arab dan Jawi yang lebih daripada apa yang saya belajar semasa di Tingkatan 1 dulu.
Sejujurnya, saya yang hanya seorang layman dalam bidang pendidikan ini, tertanya-tanya, sejauh manakah silibus-silibus ini dibuat dengan mematuhi disiplin pedagogi atau ikut sedap sahaja?
Apabila saya korek halaman web sekolah-sekolah swasta antarabangsa yang berorientasikan silibus UK seperti Mutiara International Grammar School, saya dapat melihat dengan jelas bahawa di sekolah seperti ini, adanya apa yang sepatutnya ada untuk murid-murid belajar. Silibus dibahagikan kepada dua cabang utama iaitu:
Subject-based Curriculum (SBC)
Activity-based Curriculum (ABC)
Kedua-duanya diimbangkan dengan baik dan saya percaya kesuburan mental anak-anak itulah tapak terbaik untuk agama disemai. Pendidikan yang amat berorientasikan peperiksaan merosakkan rangka fikir anak-anak dan saya takut anak saya 10 tahun daripada sekarang berbangga dengan deretan 20A tetapi mempunyai cara berfikir yang kaku, tidak kreatif dan sekadar menjadi audio player berkualiti tinggi. Robot Islamik!
Sehingga hari ini, saya masih menyertai Islamic School’s League of America dan mengikuti perkembangan sistem pendidikan Islam di Amerika Syarikat. Terasa begitu cemburu di hati saya melihat bagaimana mereka menikmati fleksibiliti dalam membangunkan sistem pendidikan hingga Islamic Homeschooling juga sudah diterima sebagai salah satu alternatif pendidikan yang rasmi.
Saya ada kerisauan yang besar, tetapi saya mempunyai tahap keupayaan yang kecil. Saya tidak duduk di bidang pendidikan. Mungkin sahaja kerisauan saya ini tidak berasas, tetapi saya sedih melihat anak-anak saya yang agaknya dibesarkan dengan cara lain di rumah, tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran yang ada di sekolah mereka.
Semenjak Saiful Islam masuk ke sekolah tadika Islam 3 tahun yang lalu dan kini bersekolah rendah, begitu juga dengan Naurah Sabihah yang juga sudah menyertai sistem berkenaan… saya melihat corak yang sama serta masalah yang sama dalam pendidikan mereka.
Terdetik hati untuk mencuba sistem di sekolah antarabangsa yang tidak Islamik, tetapi saya tidak mampu untuk membayar yurannya. Saya tidak bimbang dengan suasana sekolah yang kebaratan whatsoever, kerana saya sudah bekerja, menjadi pengetua, menjadi guru dan menjadi penyelia kepada pendidikan komuniti Muslim di negara Barat yang benar-benar Barat… dan saya tahu, bekalan terbesar untuk tumbesaran anak-anak adalah pada akal yang sejahtera, bersama check and balance berterusan daripada ibu bapa berkaitan nilai dan norma agama.
Jika akal dan teknik berfikir anak-anak dirosakkan oleh sistem pembelajaran yang salah, agama yang dihayati juga nantinya menjadi superficial.
Saya tidak sekali-kali menyalahkan pihak sekolah atau guru, kerana masalah ini lebih rumit daripada sekadar masalah sekolah atau guru. Mungkin saya semakin hampir tiba ke sebuah kesimpulan, bahawa kecemerlangan pendidikan Islam di dalam Sejarah terletak pada minimanya campur tangan kerajaan dalam sistem dan silibus pendidikan!
PENYESALAN
Hari ini saya berasa sangat sesal, marah dan geram dengan diri saya sendiri. Saya gagal menekan butang PAUSE dan Saiful Islam menjadi mangsanya.
Beliau mendapat markah yang amat teruk dalam subjek Bahasa Arabnya!
Saya memarahinya hingga buat pertama kalinya dia menangis hingga memercik air mata. Saya sangat tidak kisah dengan apa sahaja output daripada sebuah ujian atau peperiksaan kerana saya ada cara saya sendiri untuk menilai prestasi anak-anak. Tetapi untuk mendapat markah seteruk itu, saya tidak dapat menerimanya.
Setelah anak saya tidur, saya baca kembali jawapan-jawapan yang ditulisnya, saya berasa sangat kesal dengan diri saya sendiri. Pen merah yang ditandakan besar-besar oleh cikgu di atas kertasnya, hakikatnya adalah simbol yang paling tepat dalam menggambarkan harapan saya pada sistem dan silibus seperti ini. Markah itu adalah tanda memberontaknya anak saya kepada sistem yang sama.
Maafkan Abi.
Diri ini buntu memikirkan semua ini.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 Ampang
sumber: saifulislam.com
Bersempena Dengan Kongres Pendidikan Islam,GAMIS - GAMIS UKM
Bersempena Dengan Kongres Pendidikan Islam, GAMIS
tinta biasa azizan anwar
JIHAD INTELEKTUALARTIKEL UNTUK PENJIHAD
MukaddimahDi sana terdapat satu tuntutan yang kritikal kepada seluruh masyarakat kampus yang sayangkan diri mereka dan ilmu. Beberapa perkara yang perlu diambil kira ialah, kemestian kita mengetahui hakikat kewajipan mendapat ilmu dari menjadi manusia ghair al-tholib kepada al-tholib. Beberapa hakikat yang penting ini perlu dimulakan dengan memahami hadis baginda SAW yang bermaksud “menuntut ilmu adalah kewajipan terhadap setiap muslim"
Asas Jihad Dan Kitab Konsepnya, serta keraguan terhadap sistem pendidikanJihad intelektual bukanlah konsep jihad baru yang melarikan pemikiran manusia dari berfikir mengenai jihad akbar, iaitu jihad al-Qital atau jihad siyasi, namun ianya adalah maksud sebenar perjuangan umat manusia dalam mencari kaedah menyelam ilmu dan mendasar matlamat yang terbaik dalam menuntut ilmu. Lontaran ini pernah dinyatakan oleh ulama’ dari madarsah Bait al-Qura’, Melaka ketika memsyarahkan kitabnya yang ringkas iaitu Risalah al-Tahrid.
Umum mengetahui sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan konsep pendidikan pragmatis. Nampaknya pada hari ini ia seakan-akan mementingkan bahasa inggeris, sains dan matematik. Tetapi pada waktu 90an dahulu, ia mementingkan bahasa dan moral. Pada ketika itu, sasterawanlah yang beruntung. Ia adalah berubah-rubah. Mungkin akan datang nanti, ia mementingkan pendidikan sukan pula berbanding sains, matematik, inggeris, moral dan bahasa. Sekiranya ia terbukti berubah-rubah, maka perkara ini adalah tidak mustahil.
Konsep penyatuan terhadap matlamat yang satu telah diungkap oleh baginda dalam maksud yang mendalam pada hadisnya diatas. Maka, apakah sebenarnya matlamat pendidikan? Peperiksaan, ulangkaji pelajaran, kerja dengan gaji lumayan, Ijazah sarjana muda, doktor falsafah atau PHD? Atau matlamatnya adalah syurga, neraka, dosa dan pahala? Atau matlamatnya hanyalah Allah? Of Course, pastilah semua tertanya, mengenainya. Matlamat yang terakhir tadi (Allah) pasti dirasa pelik oleh orang sekular yang mengasingkan segalanya daripada kehidupan mereka.
Hazihi al-Ghoyah.
Inilah matlamatnya.Matlamatnya adalah Allah. Dan agama serta konsep ketuhanan sebagai cara hidup. Pengaplikasian konsep ilmu dalam setiap saat kehidupan yang bermula selepas mendapat teori ilmu itu dari dewan kuliah, bilik tutorial, kelas dan darjah. Dan perpustkaan sebagai gedungnya. Dan bilik ulama’, pensyarah dan cikgu sebagai rujukan bukan benda, tetapi manusia. Inilah sebenarnya konsep matlamat yang satu dan tetap (thabat). Relevan sehingga keakhirnya. Kerana matlamat terakhir manusia adalah Allah, dosa pahala dan syurga neraka.
Penyelesaian pada kemusykilan Ilmu Teori Fizik
Mungkin ada yang pelik, adakah ilmu matematik dan ilmu fizik yang lain boleh menjurus kepada pengaplikasian dalam hidup dan ketuhanan. Cara yang bagaimana pula dapat mengaitkannya dengan matlamat ketuhanan tadi? Begitu juga dengan ilmu bahasa dan lain-lainnya. Begini! Apa kata kita menyelami alam kehidupan kita seharian. Dalam situasi yang manakah kita terpaksa berhempas pulas dengan ilmu yang berbentuk fizik?
Contohnya, cara aplikasi ilmu add math, serta formula-formulanya. Add Math sentiasa menyuruh kita mengaitkan soalan dengan formula. Dan strategi jalan penyelesaian semata-mata untuk mendapat jawapan. Dan juga, strategi mengetahui samada jawapan kita itu betul atau salah! Jadi, persoalannya ialah, bagaimana untuk aplikasi semua itu dalam kehidupan? Sahabat pembaca sekalian, konsep fizik add math sebenarnya adalah teori kematangan akal kita berfikir. Ia sebenarnya boleh mengasah otak berfikir dengan cepat, juga mengasah otak agar mudah mendapat strategi.
Mungkin penulis boleh mencadangkan pembaca menonton drama penyiasatan Numbers yang keudara di astro AXN. Saudara pembaca boleh melihat watak Don Epps dan Charlie Epps yang mengaplikasikan add math dalam kehidupan seharian mereka. Inilah yang mengkagumkan mengenai ilmu Teori Fizik add math. Yang menjadi kepentingannya ialah, keawajipan kita sentiasa menggunakannya dengan batasan syara’.
Barulah semua ilmu dapat dikaitkan sebagai ilmu ketuhanan (metafizik)…. Penulis berharap, pembaca boleh faham. Ini perenggan yang panjang sedikit…...Selesai satu masalah
Saya mengharapkan Kongres Pendidikan Islam GAMIS ini, mendapat perhatian seluruh masyarakat, yang mencintai Malaysia. Ia adalah penyelesaian terbaik. Kelainan ini rasanya tidak pernah muncul sejak 52 tahun....Wallahua'lam
http://azizanmaliki.blogspot.com/
- GAMIS UKM -
Selayang Pandang Sistem Pendidikan Masa Kini - GAMIS UUM
Selayang pandang sistem pendidikan masa kini
Oleh: Mohd Arif Juhani Bin Abdul Rahman*
Pendidikan merupakan suatu elemen yang maha penting dalam proses membentuk sesebuah jati diri bangsa dan ketamadunan bangsa tersebut. Maka pendidikan adalah perkara yang paling mendasar yang perlu disediakan modul dan model yang tepat kerana kegagalan sistem pendidikan yang dibina oleh kita hanya akan menyebabkan keburukan yang bukan bersifat jangka masa pendek tetapi mampu merosakkan dan menjahanamkan seluruh generasi yang seterusnya.
Dalam hal ini, perlu kita muhasabah diri ini tentang apakah kejayaan yang telah kita raih dengan mengguna pakai sistem pendidikan pada hari ini. Kita tidak menafikan betapa di sana telah wujud beberapa kumpulan profesional yang berjaya menempa nama baik dalam dan luar negara.
Namun perlu kita sedari bahawa kadar jenayah yang berlaku dalam negara pada ketika ini turut disebabkan oleh sistem pendidikan kita yang bobrok. Secara dangkalnya boleh sahaja kita membina hipotesis iaitu “semakin banyak institusi pendidikan ditubuhkan, semakin tinggi kadar jenayah yang berlaku dikalangan belia.”
Hal ini boleh disanggah namun hakikatnya majoriti akan mengakui akan kebenaran hal tersebut. Sebagaimana ekonomi mesti dibangunkan terlebih dahulu sebelum kestabilan politik dapat dicapai maka begitu jugalah dalam membentuk generasi yang berbudi pekerti, mesti dibangunkan sistem pendidikan yang ampuh sebelum boleh untuk kita berbicara soal membangunkan infrastruktur negara kelas pertama.
Kegagalan kita untuk membina keperibadian yang unggul dalam diri generasi pelapis hanya menyebabkan mereka menggunakan infrastruktur kelas pertama dengan menggunakan akal kelas ketiga atau keempat. Nilai etika harus diberi penekanan dalam erti kata sebenarnya dalam konteks ini. Empat komponen dalam diri manusia itu harus dididik secara seimbang iaitu akal, fizikal, roh (atau hati) dan nafsu.
Membina sistem pendidikan haruslah dilihat dengan menggunakan lensa kaca mata tamadun Islam dahulu yang bukan sahaja memiliki daya intelektual yang tinggi namun pada ketika yang sama turut ditekankan juga kepada aspek disiplin diri atau adab.
Menggunakan falsafah pendidikan barat tidaklah menjadi suatu kesalahan bahkan memang asalnya segala falsafah barat itu kebanyakannya diambil daripada segala khazanah keilmuan daripada tamadun Islam tetapi mereka melakukan aktiviti sekularisasi dalam segala aspek sehingga memisahkan nilai kerohanian atau nilai aqidah yang terdapat dalam setiap disiplin ilmu dan pada ketika ini kita pula gagal untuk menapis atau menyaring nilai sekular (desekularisasi atau Islamisasi) dengan apa yang tidak sesuai dengan suasana kehidupan Islami dan hal tersebut hanya akan menambahkan kepincangan yang sedia ada.
Kita tidak menafikan barat memiliki sistem pendidikan yang canggih dan teratur yang sesuai diaplikasikan oleh banyak negara dalam dunia ini. Namun siapa pula dapat menafikan bahawa kehidupan harian mereka turut menunjukkan betapa sistem yang diguna pakai hanya melahirkan manusia yang cekap dari sudut keilmuan semata-mata tetapi gagal mencapai maksud keinsanan dalam erti kata yang sebenarnya. Siapa dapat menafikan bahawa krisis dunia yang berlaku pada hari ini dilakukan oleh negara yang tinggi nilai keilmuannya namun compang camping dalam meletakkan nilai keinsanan dalam melakukan sesuatu tindakan.
Sudut pandang kita seharusnya lebih meluas dan meliputi kedua-dua aspek iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu dan berbudi pekerti mulia. Disinilah Islam telah memberikan garis panduan yang jelas yang sesuai untuk diikuti bukan sahaja oleh umat Islam bahkan kepada mereka yang belum menerima hidayah Islam lagi.
Ketamadunan yang telah dibina dengan menggunakan sumber agung Islam iaitu Al-Quran dan Sunnah telah membuktikan hal yang sedemikian. Kejayaan kerajaan Islam dahulu membina empayar Islam yang dikagumi dan digeruni merupakan bukti bahawa sistem pendidikan yang diamalkan telah berjaya melahirkan manusia yang meletakkan nilai keinsanan mendahului nilai kebendaan atau materialistik.
Sistem pendidikan juga tidak seharusnya dan semestinya hanya berlangsung di persekitaran sekolah semata-mata tetapi perlu merangkumi keseluruhan kehidupan harian masyarakat kita atau boleh juga disebut sebagai sistem pendidikan tidak langsung. Hal ini pula pastilah menuntut komitmen keseluruhan anggota masyarakat.
Bentuk kehidupan yang sempurna akan membantu memperkuatkan keperibadian akal budi dan kematangan generasi ketika ini untuk menempuh alam dewasa yang lebih mencabar. Desakan reformasi dalam sistem pendidikan tidak seharusnya ditekankan hanya kepada kerajaan tetapi juga kepada badan-badan agama, NGO-NGO, media massa dan cetak dan sebagainya. Kegagalan kerajaan untuk menambah baik sistem pendidikan harus dibantu oleh semua komponen dalam masyarakat.
Polisi baru terhadap media penyiaran harus ditekankan. Rancangan yang berkualiti yang dapat membantu menjayakan proses pembangunan insan harus dituntut diperbanyakkan. Keinginan yang tinggi untuk melihat kejayaan sistem pendidikan tidak akan berhasil jika aspirasi ini tidak disambut oleh golongan pendidik, ibu bapa, dan anggota masyarakat. Seharusnya ketiga-tiga golongan ini mampu mengisi kekosongan sebagai contoh teladan yang boleh diikuti oleh generasi muda.
Sebagaimana tiada jihad sebelum dakwah dan tiada dakwah sebelum ilmu dan kebijaksanaan maka dalam hal ini kasih sayang harus disebarkan terlebih dahulu sebelum memikirkan apakah bentuk hukuman yang selayaknya diberikan kepada mereka yang ingkar mengikut disiplin.
Tahniah kepada GAMIS di atas komitmen yang ditunjukkan dengan menunaikan amanah tanggungjawab sosial demi memastikan umat Islam di Malaysia khususnya dan masyarakat lain umumnya dapat menjalani kehidupan dengan dipandu oleh nilai-nilai kemanusiaan yang sejati dan tidak meletakkan nilai materialistik mengatasi segala-galanya yang mana di sini GAMIS berkeyakinan bahawa sistem pendidikan yang betul dan lurus akan memandu masyarakat merencanakan kehidupan dengan lebih baik.
Istilah tajdid dan islah yang menjadi pegangan gerakan mahasiswa menjadikan kongres yang bakal diadakan kelak sebagai manifestasi kepada semboyan tersebut. Teruskan perjuangan kalian dalam memartabatkan Islam dalam kehidupan masyarakat dalam negara ini.
Bukan anda tapi kita akan bersama-sama berusaha berganding bahu membantu kepimpinan negara dalam rangka membentuk kehidupan masyarakat yang selari dengan prinsip keinsanan yang pastinya akan tetap berada di atas landasan syariat.
Selamat menjayakan Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara 2009.
——————
*Penulis merupakan Exco Hubungan Luar & Antarabangsa Rakan Masjid Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Pengenalan
Objektif IPPIN
2) Membetulkan pandang alam (world-view) mengenai pendidikan Islam yang sebenar.
3) Membentuk satu resolusi bertindak ke arah pentajdidan sistem pendidikan Islam di negara.
Organisasi Ippin
PENGERUSI :
-Muhammad Naqiuddin bin Mohd Said
TIMB. PENGERUSI :
-Shahrizul Ayuni bt. Zulkiply
SETIAUSAHA :
-Wan Nur Shuhada bt. Wan Hasan
TIMB. SETIAUSAHA :
-Masyitoh bt. Yaacob
BENDAHARI :
-Najlaa Shazana bt. Mohamad
TIMB. BENDAHARI :
-Muhammad bin Ab. Razak
BIRO BERTINDAK
BIRO R&D (KAJIAN)
-Ahmad Saifuddin bin Amran
-Syuja’ati Ilmi
BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN
-Mohd Yusof Hadhari b. Saidon
-Nurhaslin bt. Zaharudin
BIRO PERHUBUNGAN DAN KORPORAT
-Mohammad Za’im Mustapha
BIRO LATIHAN DAN PROGRAM
-Marwan Bukhari
-Nurul Hayati bt. Abd Latif
BIRO ANTARABANGSA
-Abd Rauf Baharuddin
-Nur Suhaila bt. Zulkifli
Muat Turun Di Sini
Labels
- Gamisdaily (9)
- Kenyataan Media (8)
- Pandangan (21)
- Pendidikan (21)
- PENGUMUMAN (9)
- pogram (2)
- program (1)
- Tokoh Akademik (1)
- Umum (7)
Saranan Buku
sebuah buku yang berdasarkan teori-teori Islam yang diadaptasi kepada teori Barat
Bagaimana hendak jadi guru yang baik? Bacalah buku ini!!
Sebuah buku yang boleh dijadikan panduan untuk menerapkan elemen kesepaduan dalam pendidikan
Sejarah Pemikiran
The Origins of Islamic Reformism in Southest Asia






