Pendidikan Islam : Suatu Analisis (5)

Posted by Institut Pemikiran dan Pendidikan Islam Nasional (IPPIN)

CABARAN PELAKSANAAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM

Berdasarkan kepada penerangan yang telah diberikan mengenai Sistem Pendidikan Islam, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Sistem Pendidikan Islam adalah merupakan satu sistem yang lengkap meliputi segala aspek kehidupan yang kesemuanya menuju ke arah pembinaan insan kamil.

Barangkali kita bersetuju jika dikatakan bahawa pengajaran dan pendidikan Islam merupakan subjek atau satu disiplin ilmu yang seringkali diketengahkan sebagai kaedah penyelesaian kepada pelbagai masalah negara. Contohnya ketika kita menghadapi masalah berleluasanya jenayah kolar putih pada suatu ketika dulu, pengajian dan pendidikan Islam telah dicadangkan oleh pelbagai pihak sebagai salah satu kaedah penyelesaiannya.

Utusan Malaysia, 5 Mac 1997 telah mengulas mengenai 'Dilema Pengajian Islam' dengan mengemukakan beberapa pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa pengajian Islam perlu dijadikan subjek yang wajib dipelajari oleh setiap pelajar Islam sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam setiap disiplin ilmu. Menurut laporan itu lagi, subjek tersebut dikatakan mengandungi pelbagai "Mekanisme Pengawalan" yang membolehkan masyarakat mematuhi ajaran agama.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya pengajian Islam difahami serta dihayati isi kandungannya dengan sebaiknya maka akan lahirlah ahli-ahli politik yang lebih bermoral dan berwawasan, ahli perniagaan yang jujur dan amanah, guru-guru yang berdedikasi serta pelajar-pelajar yang rajin dan berketerampilan, yang mana semua ini akan dapat mengurangkan gejala sosial yang semakin berleluasa dewasa ini.

Dalam pada kita menggembar-gemburkan tentang peri pentingnya Sistem Pendidikan Islam ini diberi penekanan di dalam konteks pendidikan negara, namun masih ada kesangsian lagi samada pihak kerajaan bersedia untuk turut sama meningkatkan taraf dan pencapaian sekolah-sekolah agama, atau dalam konteks yang lebih luas lagi melaksanakam Sistem Pendidikan Islam di Malaysia.

Dalam membincangkan cabaran pelaksanaan Sistem Pendidikan Islam ini , Norizan Sharif dalam Majalah Ummi, Januari 1994 telah mengemukan laporan Kongres Pendidikan Islam Malaysia 1993 mengenai pelbagai isu yang timbul yang menyekat keberkesanan pendidikan Islam di negara kita. Antara isu-isu yang dikemukakan ialah :

•Dualisme Dalam Pendidikan

Prof. Madya Dr. Halim Mat Diah, ketua Akademi Islam Universiti Malaya, mengkritik dasar pendidikan Islam di negara ini dan mempersoalkan dualisme yang diamalkan di sekolah-sekolah. Menurut beliau apa yang berlaku ialah guru mata pelajaran Agama Islam mengatakan mendedahkan aurat adalah haram, tetapi kemudiannya masuk pula guru Bahasa Inggeris yang tidak menutup aurat. Jadi ini mungkin akan mengelirukan para pelajar.

Isu dualisme dalam sistem pendidikan ini telah membuatkan sebahagian ibu bapa tawar hati untuk menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan dan sebaliknya memilih sekolah agama yang memberikan penekanan kepada kedua-dua aspek akademik dan agama.

•Kekaburan Mengenai Bentuk Pendidikan Islam

Ustaz Wan Bakar wan Dagang dari Lembaga Penasihat dan Penyelerasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Jabatan Perdana Menteri merumuskan kekusutan yang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan dalam menentukan dasar pendidikan Islam dengan berkata,

" Persoalan dasar Pendidikan Islam Malaysia ini sebenarnya belum di putuskan lagi. Apakah pendidikan Islam Malaysia adalah seperti yang wujud di sekolah-sekolah Agama yang ada pada masa kini ? Atau seperti pendidikan Islam di sekolah-sekolah pondok ? Atau pendidikan Islam seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama ? Atau pendidikan Islam seperti di sekolah-sekolah swasta seperti ABIM ? Atau di Sekolah Rendah Islam Malaysia ? … Atau apakah model pendidikan Islam di negara Islam lain boleh diambil pakai untuk dipraktikkan di Malaysia. Saya rasa persoalan di atas belum lagi ditangani secara sepadu oleh Kementerian Pendidikan Malaysia."

•Pelajar Kurang Berminat

Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mengenai mata pelajaran Pengetahuan Islam menyebut tiga perkara pokok yang dihadapi dalam pengajaran Agama Islam iaitu :

oMasih terdapat pelajar yang tidak berminat untuk mengambil peperiksaan mata pelajaran Pengetahuan Islam
oMasih ramai guru matapelajaran Pengetahuan Islam tidak mempunyai kelayakan ikhtisas terutama guru di sekolah rendah
oPengajaran guru kurang menitikberatkan aspek amali.

Tahap minat yang begitu rendah di kalangan pelajar terhadap mata pelajaran Pengetahuan Islam sebenarnya berpunca dari sikap Kementerian Pendidikan sendiri yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi terhadapnya.

Walaupun kita sering bercakap mengenai hasrat untuk meningkatkan tahap pengetahuan Islam dikalangan pelajar, sehingga kini mata pelajaran Agama Islam dilihat tidak penting kecuali bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran kejurusan agama.

•Ketidaksungguhan Kementerian Pendidikan

Di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), pada zahirnya masa belajar mata pelajaran Agama Islam ditambah daripada 120 minit kepada 150 minit seminggu. Tetapi dengan luasnya skop mata pelajaran tersebut yang meliputi asuhan membaca al Quran dan rampaian Pendidikan Islam, masa tersebut iaitu purata 30 minit sehari didapati tidak mencukupi. Dengan masa yang begitu terbatas tidak hairanlah sekiranya ia kurang berkesan.

Begitu juga dengan guru mata pelajaran Agama Islam yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas. Beberapa perakuan laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 mengenai pelajaran Agama Islam masih tidak dilaksanakan sepenuhnya sehingga kini.

Kira-kira 5 000 orang guru agama di sekolah rendah yang merupakan Guru Sandaran Tanpa Latihan masih belum mendapat latihan ikhtisas yang cukup. Sepatutnya satu skim latihan khas perlu diberikan ke atas guru-guru agama yang tidak terlatih ini.

Ketidaksungguhan Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan tahap kefahaman Islam guru-guru sekali lagi terserlah apabila mata pelajaran Tamadun Islam di maktab-maktab perguruan kini dikurangkan daripada empat semester kepada satu semester sahaja.

Di dalam kongres Pendidikan Islam Malaysia ini juga turut mengupas beberapa masalah yang masih membelengu Sistem Pendidikan Islam di Malaysia yang juga merupakan cabaran yang perlu dihadapi. Di antara cabaran-cabaran tersebut ialah :

•Kekurangan Latihan Ikhtisas

Kenyataan ini telah disokong oleh ustaz Ibrahim Abdullah dari Jabatan Agama Islam Terengganu dengan menyatakan bahawa kekurangan latihan ikhtisas bukan sahaja di sekolah rendah tetapi juga di sekolah menengah. Perkara ini juga berlaku kepada matapelajaran akademik yang lain.

•Ketiadaan Sistem Peperiksaan dan Persijilan Yang Standard

Masih belum lagi terdapat unit dalam bahagian di Lembaga Peperiksaan untuk mengendalikan urusan peperiksaan bagi sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat. Dengan ketiadaan sistem peperiksaan dan persijilan yang standard, urusan kurikulum dan persijilan sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat diuruskan sendiri oleh negeri-negeri dan pertubuhan yang menganjurkan sekolah tersebut.

Perkara ini menyebabkan kurikulum di sekolah-sekolah agama tidak seragam dan ini menimbulkan masalah pengiktirafan. Berhubung dengan masalah ini, Ustaz Haji Zainal Abidin menyebut bahawa ada negeri yang tidak mengiktiraf sijil yang dikeluarkan oleh negeri lain.

Ini mengakibatkan kerugian di kalangan pelajar-pelajar kita sendiri kerana tanpa pengiktirafan, sijil yang dikeluarkan tidak lebih daripada sekeping kertas yang tidak bernilai.

•Tiada Satu Badan Khusus Yang Mengawasi Penyusunan Buku Teks Agama

Menurut Ustaz Wan Bakar Wan Dagang dari Lembaga Penasihat Penyelaras Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) bahawa sehingga kini Lembaga Penyusunan Buku-buku Agama dalam erti kata yang sebenarnya belum lagi wujud. Bahagian buku Teks, Kementerian Pendidikan hanya dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan buku-buku teks agama di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan.

Bagi membolehkan Islam diterapkan secara bersepadu, sudah sampai masanya bagi kita untuk menubuhkan sebuah Lembaga Penyusunan Buku Agama agar perhatian yang lebih dapat diberikan bagi mengawasi penerbitan buku-buku agama yang lebih bermutu. Selain dari itu, bahagian ini juga boleh merancang usaha-usaha bagi mempercepatkan pengislamisasian ilmu.

•Kurang Kemudahan Fizikal

Di kebenyakan sekolah agama terutama sekali sekolah agama negeri atau rakyat menghadapi kesukaran untuk membiayai pembangunan fizikal. Walaupun kerajaan memberikan bantuan namun ia tidak dilakukan secara menyeluruh. Sehingga hari ini masih ada lagi sekolah agama dalam keadaan serba kekurangan tetapi tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan atas sebab-sebab tertentu.

•Kekurangan Tenaga Tadbir Yang Profesional

Dengan sumber kewangan yang terhad, sekolah-sekolah agama negeri dan rakyat menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat tenaga profesional. Akibatnya pentadbiran sekolah dikendalikan dengan seadanya. Ketiadaan pentadbir profesional sepenuh masa ini menjadikan perancangan masa depan sekolah tidak dapat dilaksanakna secara teratut dan lebih bersifat jangka pendek. Ini menyukarkan sekolah tersebut untuk bersaing dengan sekolah-sekolah yang lain.


sumber hikmahmedia.net

Artikel ini : 

0 Komentar

Post a Comment

There was an error in this gadget

Pengenalan

Adalah satu usaha GAMIS dalam menjadikan Pendidikan Islam diangkat sebagai peneraju utama untuk menjayakan matlamat sistem pendidikan negara iaitu ke arah pembentukan masyarakat baik dari aspek keintelektualan, moral, fizikal dan lain-lain oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Objektif IPPIN

1) Menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dalam negara. Tujuan untuk menilai pendidikan Islam dalam negara adalah untuk menjadikan pendidikan Islam sebagai tunjang pendidikan. Selain itu, pendidikan Islam juga sudah lama tidak disemak semula melainkan hanya menjalankan wacana tahunan sahaja.

2) Membetulkan pandang alam (world-view) mengenai pendidikan Islam yang sebenar.

3) Membentuk satu resolusi bertindak ke arah pentajdidan sistem pendidikan Islam di negara.

Organisasi Ippin

AHLI MAJLIS TERTINGGI

PENGERUSI :
-Muhammad Naqiuddin bin Mohd Said

TIMB. PENGERUSI :
-Shahrizul Ayuni bt. Zulkiply

SETIAUSAHA :
-Wan Nur Shuhada bt. Wan Hasan

TIMB. SETIAUSAHA :
-Masyitoh bt. Yaacob

BENDAHARI :
-Najlaa Shazana bt. Mohamad

TIMB. BENDAHARI :
-Muhammad bin Ab. Razak


BIRO BERTINDAK

BIRO R&D (KAJIAN)
-Ahmad Saifuddin bin Amran
-Syuja’ati Ilmi

BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN
-Mohd Yusof Hadhari b. Saidon
-Nurhaslin bt. Zaharudin

BIRO PERHUBUNGAN DAN KORPORAT
-Mohammad Za’im Mustapha

BIRO LATIHAN DAN PROGRAM
-Marwan Bukhari
-Nurul Hayati bt. Abd Latif

BIRO ANTARABANGSA
-Abd Rauf Baharuddin
-Nur Suhaila bt. Zulkifli

ShoutMix chat widget